Zeinab Badawi ketika memwawancara Dr Mahathir Mohamad dalam program Hardtalk.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menafikan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau pernah memohon maaf kerana memecatnya pada tahun 1998.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak pernah membuat permohonan maaf secara formal kepada Anwar.

“Saya tidak bercakap begitu kepadanya tetapi ada orang yang meletakkan perkataan itu pada saya kerana mereka mahu saya meminta maaf.

“Tetapi saya tidak pernah membuat permohonan maaf kepadanya (Anwar),” katanya dalam wawancara bersama Zeinab Badawi dalam program Hardtalk BBC Britain.

Sambil memetik kenyataan Anwar, Zeinab berkata:”Anwar memberitahu BBC pada Jun lalu yang Dr Mahathir Mohamad memberitahunya bahawa dia sudah membuat kesilapan dan mahu peluang melakukan perubahan”.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata: “Itu adalah pendapat beliau (Anwar)”.

Jelas Dr Mahathir, isu lampau tentang Anwar tidak pernah dibangkitkan semasa kedua-dua mereka bekerjasama untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan berjaya menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum pada Mei lalu.

Anwar yang dipecat oleh Dr Mahathir yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan kemudian dikenakan pertuduhan meliwat dan penyalahgunaan kuasa.

Anwar dijatuhi hukuman enam tahun penjara kerana rasuah pada tahun 1999 dan dipenjara sembilan tahun kerana didapati bersalah meliwat pada tahun2000.

Tetapi Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitannya dan membebaskan Anwar pada tahun 2004.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau kesal Anwar dipenjarakan tetapi beliau tidak boleh dipersalahkan kerana hukuman tersebut dijatuhkan oleh mahkamah. – MalaysiaGazette