KUALA LUMPUR – Bukan Bersih 2.0 tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kesalahan yang dilakukan semasa Pilihan Raya Kecil Sungai Kandi.

“BERSIH 2.0 ingin menjelaskan bahawa BERSIH 2.0 tidak membuat laporan polis mengenai kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh Najib Razak, sebaliknya Suruhanjaya Pilihan Raya membuat laporan itu

“Suruhanjaya Pilihan Raya membuat laporan polis terhadap kes tersebut, yang kami percaya mendorong kepada siasatan terhadap Najib Razak,” kata Jawatankuasa Pemandu 2.0 dalam satu kenyataan di sini.

Semalam, Najib berkata, Bersih 2.0 telah membuat laporan polis dan menuduh beliau melanggar akta pilihan raya kerana membuat satu posting di Facebook sebelum peti undi dibuka pada hari PRK Sungai Kandis.

Bekas Perdana Menteri itu memberitahu beliau sedia memberi kerjasama sepenuhnya.

Tetapi, Najib juga mempersoalkan sama ada Bersih 2.0 telah membuat laporan polis terhadap PKR dan calon Sungai Kandis yang didakwa turut melakukan kesalahan semasa pilihan raya kecil itu.

Dalam kenyataan itu, Bersih 2.0 menjelaskan bahawa pihaknya telah melakukan pemerhatian pemilihan pada PRK Sungai Kandis dan semua kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh semua pihak, termasuk calon UMNO dan PKR telah didokumenkan dalam laporan pemantauan pilihan raya dan dikemukakan kepada SPR untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, terpulang kepada SPR untuk mempertimbangkan langkah-langkah yang sewajarnya sebagai institusi yang diberi kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengambil tindakan yang perlu terhadap kesalahan pilihan raya.

BERSIH 2.0 tuurt mengalu-alukan tindakan oleh SPR dan polis kerana ini menetapkan pembaharuan untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan pilihan raya yang didakwa telah banyak diabaikan di bawah pemerintahan Barisan Nasional.

“BERSIH 2.0 juga menyeru SPR untuk menyiasat semua kesalahan pilihan raya lain dalam laporan yang dikemukakan oleh termasuk yang dilakukan oleh calon PKR.

“Aduan kesalahan pilihan raya yang dikemukakan oleh organisasi lain dan anggota awam juga perlu disiasat juga untuk memastikan pilihan raya yang bebas dan adil.

“Kami berharap ini akan menghantar isyarat yang tepat kepada semua parti politik dan calon untuk mematuhi prinsip-prinsip pilihan raya yang bersih, bebas dan adil dalam semua pilihan raya akan datang, termasuk pilihan raya kecil semasa di Port Dickson,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan