Syed Ali Alhabshee
Syed Ali Alhabshee

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee terkejut apabila namanya disebut dan diserang dalam perbahasan oleh perwakilan UMNO dari Kedah, Noran Zamini Jamaludin.

Katanya, perwakilan itu telah membuat tuduhan melulu ketika sesi perbahasan menyokong Ucapan Dasar Presiden pada Ahad lalu, termasuk mempersendanya agar dipanggil berlakon dalam filem “Munafik 3” kerana beliau keluar dari UMNO.

Beliau mengingatkan Noran Zamini, sebagai seorang Islam jangan membuat tuduhan melulu dan menilik diri di cermin, siapa beliau dengan sewenang-wenangnya boleh melabel orang sesuka hati.

“Dengan ucapan yang banyak menyelitkan ayat al-Quran dan penceritaan sirah Nabi, Noran Zamini sanggup memburukkan keperibadian saya dan ini jelas sekali bercanggah dengan  ajaran Islam.

“Saya keluar UMNO, saya tidak mencerca dan memburukkan orang lain termasuk bekas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) serta barisan kepimpinan UMNO yang ada sekarang.

“Malah, saya sesekali tidak akan mencela keperibadian orang lain hanya disebabkan berbeza fahaman politik,” katanya mengulas tindakan Noran Zamini dengan lantang mengkritiknya serta pemimpin lain yang keluar UMNO.

Menurut Syed Ali, beliau bukan seorang Ahli Parlimen yang apabila keluar dari UMNO akan mengurangkan bilangan kerusi Barisan Nasional (BN).

Oleh itu, katanya, apa masalah kepada Noran Zamini dan apa kepentingan serta niat sebenar beliau mencela, mempersenda dan menghinanya di khalayak ahli UMNO.

“Amat rugi sekali dia menggunakan platform ini untuk mengkritik orang yang keluar UMNO, sepatutnya peluang itu digunakan dengan memberi idea bagaimana UMNO dapat ditransformasikan untuk merampas kembali pentadbiran negara.

“Sebelum keluar parti, saya mengambil tanggungjawab memastikan perjalanan UMNO Bahagian Cheras berjalan baik di bawah Timbalan Ketua Umno Bahagian yang akan memangku jawatan ketua.

“Jadi, apa agenda atau matlamat beliau mencerca saya, apakah ada ‘suara hantu’ di belakang tabir?” soal beliau.

Pada 24 September lalu, Syed Ali mengumumkan keluar UMNO berkuatkuasa serta merta dan beliau yang juga bekas Setiausaha UMNO Wilayah Persekutuan berbuat demikian demi menjaga kelangsungan dan kepentingan Melayu.

Menurutnya, pemimpin UMNO sekarang perlu bersikap realistik bahawa landskap politik negara sudah berubah, khususnya di kawasan bandar yang menyaksikan semua kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dimenangi Pakatan Harapan (PH) dengan jumlah undi majoriti sangat besar pada PRU 14, berbanding keputusan PRU 13.

Walaupun begitu, katanya, beliau tetap mengenang jasa UMNO dan pemimpinnya serta sentiasa menghormati dan menghargai sumbangan mereka.

“Saya sendiri juga pernah menyumbangkan khidmat bakti kepada UMNO selama 40 tahun.

“Oleh itu, saya ingin tegaskan kepada Noran Zamini supaya bermuhasabah diri dan berhentilah mencela mereka yang keluar dari UMNO.

“Jangan seseskali mencampurkan agenda politik duniawi dengan kepentingan agama Islam,” katanya. – MalaysiaGazette