Che Abdullah Mat Nawi
Che Abdullah Mat Nawi

KUALA LUMPUR – Pendirian kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan bayaran royalti kepada kerajaan Pas Kelantan hanya retorik politik Pakatan Harapan (PH) daripada menunaikan tanggungjawab mereka.

Ia hanya alasan yang sukar untuk diterima rakyat Kelantan yang mengharapkan perubahan lebih baik oleh pimpinan kerajaan baharu, kata Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Katanya, kes mahkamah yang dimaksudkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi melibatkan kerajaan Pas Kelantan, Petronas dan kerajaan Persekutuan di atas kegagalan melunaskan pembayaran royalti terdahulu, bertentangan dengan perjanjian 9 Mei 1975 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

“Jika mereka benar-benar hendak menunaikan tanggungjawab pembayaran royalti itu, kes ini boleh diselesaikan di luar mahkamah setelah dipersetujui pembayaran antara Petronas, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kelantan.

“Asas kepada kes tersebut juga tidak timbul lagi jika semua pihak mencapai kata sepakat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin Sabtu lalu, yang melaporkan kerajaan PH terpaksa menunggu dan menangguhkan bayaran royalti petroleum kepada kerajaan Pas Kelantan berikutan terdapat tuntutan mahkamah yang belum selesai.

Berikutan itu, katanya, pihaknya tidak dapat mempercepatkan pembayaran berkenaan sehingga selesai perbicaraan berhubung saman kerajaan negeri terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Justeru, Che Abdullah menempelak kerajaan Persekutuan yang disifatkan sebagai sengaja mencipta pelbagai alasan.

“Saya juga sangsi dengan sikap tidak tetap pendirian kerajaan Persekutuan dalam soal royalti khusus kepada Kelantan.

“Malah, saya ingin menegaskan wang tunai (royalti) itu sewajarnya disalurkan mengikut jadual dan mesti melalui kerajaan negeri sendiri.

“Polemik yang panjang tidak menyelesaikan masalah, bahkan implikasinya menyebabkan kebajikan rakyat tidak terbela,” katanya. – MalaysiaGazette