Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara di Subang selepas mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dan lawatan ke United Kingdom.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara di Subang selepas mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dan lawatan ke United Kingdom.

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara di Subang selepas mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dan lawatan ke United Kingdom.

Beliau ditemani isterinya Tun Dr Siti Asmah Mohd Ali tiba di pangkalan udara itu pada kira-kira pukul 6.20 petang menaiki pesawat khas kerajaan.

Ketibaan perdana menteri disambut timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman, Timbalan Menteri Pertahanan Liew Ching Tong serta Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Turut kelihatan, ratusan orang awam yang sabar menanti sejak pukul 5 petang tadi walaupun dalam keadaan hujan lebat dan basah.

Sejurus tiba, laungan ‘Hidup Tun’ kedengaran dan seterusnya Al-Fatihah dan doa selamat dibacakan sebelum Dr Mahathir membuat ucapan ringkas dan dilhat bersalaman dan bergambar dengan orang ramai sebelum beredar meninggalkan balai ketibaan.

Dr Mahathir berlepas ke United Kingdom untuk lawatan kerja siri pertama pada 21 Sept di mana beliau menemui Sir James Dyson, seorang billionaire Britain dan pencipta pembersih hampagas tanpa beg, yang dilaporkan berminat untuk membuat pelaburan baharu di Malaysia.

Beliau kemudian berlepas ke Amerika Syarikat pada 25 Sept untuk menyampaikan ucapan di pentas UNGA.

Dr Mahathir kemudian kembali ke London pada 29 Sept untuk lawatan kerja siri kedua di mana beliau sempat melawat Muzium British dan menyampaikan syarahan di Chatham House, Institut Diraja Hal Ehwal Antarabangsa .

— BERNAMA