Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meyerahkan sijil penghargaan kepada pegawai JPJ, Nurul Fatihah Shamsudin Shah (kanan) ketika mengadakan lawatan di JPJ Wilayah Persekutuan, Wangsa Maju Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan akan memperluaskan perkhidmatan pusat ujian berkomputer (undang-undang jalan raya) dengan melaksanakannya di Institut Memandu (IM) mulai 1 Januari depan.

Menterinya, Anthony Loke berkata, institut yang ingin melaksanakan ujian tersebut boleh mengemukakan permohonan dengan syarat menpunyai infrastruktur dan spesifikasi teknikal yang akan ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Bagaimanapun, infrastuktur yang diperlukan adalah memiliki Bilik Ujian Bercermin Berlutsinar dilengkapi dengan Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan Bilik Server.

“Selain itu, IM itu juga perlu mempunyai komputer ujian yang dilengkapi dengan talian internet dan komputer latihan,” katanya pada sidang media di Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Perkutuan di sini hari ini.

Kini terdapat 103 Pusat Ujian yang beroperasi di seluruh Malaysia bagi memudahkan calon mengambil ujian undang-undang jalan raya di bawah pengendalian Pusat Ujian eKhidmat iaitu MyEG, KOMMS dan MySPEED.

Sementara itu, Anthony berkata, kementerian melihat perkhidmatan pusat ujian itu tidak eksklusif kepada beberapa syarikat konsesi dan IM kerana ia boleh diperluaskan kepada penyedia perkhidmatan lain pada masa hadapan.

Jelasnya, impak peluasan perkhidmatan itu akan dapat memudahkan calon untuk mengambil ujian berkomputer tanpa perlu pergi ke pusat ujian MyEG, KOMMs dan MySPEED.

“Calon hanya perlu mengambil ujian di IM yang menawarkan perkhidmatan ini sekali gus mewujudkan pusat hentian bagi pelaksanaan latihan dan ujian memandu.

“Pada masa sama, ia menggalakkan IM mendapat tiga bintang ke atas dalam penggredan serta meningkatkan penawaran perkhidmatan yang lebih baik.

“Selain itu, perluasan perkhidmatan ini boleh mengurangkan monopoli perkhidmatan dan tidak mengehadkan peluang perniagaan kepada sesetengah syarikat sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan