Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus di Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2018 di Sasana Kijang.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus di Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2018 di Sasana Kijang.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menerbitkan rangka kerja penilaian Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) baharu iaitu Rangka Kerja Penilaian Kesan VBI (VBIAF) dan Kad Skor VBI.

Kertas strategi berkenaan VBI telah dikeluarkan oleh BNM pada Julai tahun lepas.

Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata bank pusat juga sedang mendapatkan maklum balas melalui perundingan awam.

“Saya berharap dapat menerima maklum balas yang konstruktif daripada pihak industri dan pihak berkepentingan untuk mengukuhkan lagi rangka kerja itu ke arah memacu tumpuan diperbaharu terhadap penyelesaian kewangan lestari,” katanya dalam ucapan di Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2018 di sini, hari ini.

Forum dua hari bertema “Value-Based Intermediation – Beyond Profit” diadakan di Sasana Kijang.

Nor Shamsiah berkata, ekonomi dunia berkembang enam kali ganda walaupun mengalami krisis kewangan yang paling buruk dan terbesar.

“Pendapatan per kapita purata meningkat kepada US$11,000 daripada hanya kira-kira US$5,000 pada 1967. Penduduk hidup lebih panjang, dengan mempunyai kualiti kehidupan lebih baik, akses lebih luas kepada keperluan asas, penjagaan kesihatan dan perubatan lebih baik serta pendidikan yang lebih berkualiti,” katanya.

Walaupun menikmati kemajuan itu, beliau berkata, terdapat cabaran termasuk kesan buruk daripada degradasi alam sekitar serta perubahan iklim yang mengancam kemakmuran, kestabilan dan kehidupan lestari global.

“Cabaran sosio ekonomi seperti peningkatan ketidaksamaan dan kekurangan perumahan mampu milik menjejaskan kesejahteraan banyak komuniti. Pada kira-kira 225 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar, hutang global berada paras tertinggi dan mungkin memberi bebanan besar kepada generasi akan datang untuk menanggungnya,” katanya.

Beliau berkata, VBIAF akan menyediakan panduan penilaian bagi permohonan pembiayaan dan pelaburan dengan mengambil kira kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar manakala kad skor itu akan menyokong pelaksanaan rangka kerja penilaian prestasi bagi institusi kewangan Islam yang memacu nilai dan kesan positif ke atas masyarakat dan alam sekitar.

Nor Shamsiah juga berkata bank pusat itu menjangkakan penerimaan dan penggunaan VBI memberi kesan ketara kepada model perniagaan institusi kewangan Islam, termasuk pemacu keuntungan dan risiko.

“Institusi kewangan Islam berorientasi VBI boleh dan sewajarnya perlu memainkan peranan penting dalam menggerakkan sumber untuk membiayai usaha pengurangan dan penyesuaian perubahan iklim.

“Pembiayaan untuk usaha penyesuaian iklim, khususnya, adalah amat rendah, walaupun berjuta-juta sudah berisiko daripada kesan perubahan iklim dan memerlukan bantuan untuk menangani kesan tersebut,” katanya.

Memetik sektor pertanian sebagai contoh, beliau berkata, sumber boleh disalurkan ke arah membina benteng banjir, dan membangunkan struktur dan kemudahan tempatan yang lebih berdaya tahan terhadap keadaan cuaca yang buruk.

“Penyelesaian takaful juga mempunyai peranan penting dalam memperkukuh daya tahan terhadap insiden iklim,” katanya.

Komitmen untuk menerima pakai VBI, yang disokong oleh bank pusat itu, merupakan langkah penting oleh industri untuk mengenal pasti secara jelas kewangan Islam dengan amalan lestari, dan ia juga menetapkan gerakan usaha yang akan meningkatkan standard proses, amalan, tawaran dan tatakelakuan yang menggalakkan perniagaan dan komuniti lestari.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan