ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.

Pada 9 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.03 mata kepada 1,798.18 daripada 1,798.15 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka 0.25 mata lebih rendah kepada 1,797.90 hari ini.

Di papan skor, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 102 berbanding 57, dengan 143 kaunter tidak berubah, 1,559 kaunter tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 61.60 juta unit bernilai RM18 juta.

Peniaga berkata, dagangan di bursa tempatan hari ini dijangka dalam aliran tidak menentu, menjejaki pasaran Asia selepas sesi di Amerika Syarikat mengalami turun naik dalam keadaan pelabur bimbang mengenai kekukuhan harga komoditi

“Pelabur akan mengikuti perkembangan semasa minggu ini termasuk kesan pasaran daripada perkembangan politik Eropah serta aktiviti pasaran pesat membangun, selain krisis perdagangan AS-China yang berlarutan.

“Ketika Rizab Persekutuan AS dilaporkan amat gembira dengan peningkatan semula ekonominya, China sebaliknya mengalami ekonomi perlahan.

“Semua ini merupakan antara faktot yang perlu ditumpukan minggu ini. Namun kita berharap harga minyak mentah yang tinggi, kini diniagakan melepasi paras US$84 setong, akan memberi beberapa sokongan,” kata peniaga.

Saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM9.72, Public Bank tidak berubah pada RM25.02, manakala Tenaga dan Petronas Chemicals masing-masing naik enam sen kepada RM15.60 dan RM9.54.

Bagi saham aktif, Fitters Diversified dan TH Heavy Engineering masing-masing meningkat setengah sen kepada 41 sen dan 6.5 sen, manakala Borneo Oil tidak berubah pada 5.5 sen dan Hibiscus Petroleum naik satu sen kepada RM1.29.

Indeks FBM Ace turun 5.30 mata kepada 5,323.20, FBM 70 naik 13.18 mata kepada 14,865.22 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 15.74 mata kepada 12,723.97.

Indeks FBM Emas menokok 8.08 mata kepada 12,564.00 dan Indeks FBMT 100 bertambah 7.66 mata kepada 12,367.17.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 3.84 mata kepada 17,764.82 dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri menokok 0.29 mata kepada 178.11, manakala Indeks Perladangan bertambah 10.57 mata kepada 7,548.48.

— BERNAMA