Sulawesi
Keadaan bandar di Sulawesi selepas dilanda gempa bumi dan tsunami pada Jumaat lalu.

JAKARTA – Kerajaan Indonesia hanya akan menerima bantuan dalam bentuk bekalan, kepakaran dan jentera dalam usaha menyelamatkan mangsa gempa bumi di Sulawesi.

Kementerian Luar Indonesia menerusi kenyataan berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan memaklumkan kepada wakil negara asing yang menawarkan bantuan susulan kejadian itu.

Bagaimanapun, sekiranya ada pihak yang ingin menyalurkan sumbangan berbentuk wang tunai ia bolehlah disalur terus kepada Palang Merah Indonesia (PMI).

“Ada sekurang-kurangnya tiga bentuk bantuan, bekalan, kepakaran dan jentera, justeru kami mengenal pasti mereka dan jika mereka mahu membantu, mereka boleh maklumkan kami apa yang boleh ditawarkan,” kata Timbalan Menteri Luar Indonesia, AM Fachir, lapor Jakarta Post.

Kelmarin, duta dari kira-kira 20 negara dan perwakilan pertubuhan antarabangsa bertemu Fachir dan dalam perbincangan itu, Indonesia memutuskan bersedia menerima bantuan asing.

Sebaik dikumpulkan dalam inventori oleh pasukan yang melaporkan kepada Menteri Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan, Wiranto, barangan diterima akan diagihkan menerusi saluran relevan kementerian itu dengan penugasan sejumlah pegawai dan anggota.

Malah, segala yang diterima akan ditapis terlebih dahulu bagi melihat apa sebenarnya yang diperlukan.

Sementara itu Fachir berkata, PMI adalah pilihan terbaik untuk memegang amanah bagi mengurus sumbangan tunai yang diterima.

“PMI boleh dipercayai dalam mengagihkan bantuan menurut keperluan,” ujarnya.

Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNOCHA) dalam satu penilaian diterbitkan Isnin lalu berkata, hampir 200,000 orang di wilayah terbabit terdesak memerlukan bantuan selepas gempa bumi magnitud 7.5 dan tsunami melanda pada Jumaat lepas.

Menurut perangkaan agensi bencana negara, gempa yang diikuti tsunami dan gegaran susulan serta pencecairan tanah, meratakan bangunan dan mengorbankan lebih 1,200 orang. – MalaysiaGazette