Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melambai selepas memberi keterangan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ, Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini hadir memberi keterangan kepada Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram  Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kali keempat.

Beliau tiba di Menara KPJ di Jalan Tun Razak pada pukul 9. 40 pagi tanpa melalui perkarangan bangunan itu sebaliknya terus ke pejabat menerusi parkir kereta di bawah bangunan.

Najib sebelum ini pernah hadir ke sini untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 27 dan 30 Ogos dan 20 September.

Turut hadir memberi sokongan beberapa orang penyokong Najib yang diketuai oleh Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

Untuk rekod, Najib ketika ini berdepan 21 pertuduhan, dengan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion dan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion ringgit.

Semuanya adalah membabitkan dana daripada 1MDB yang dikreditkan ke dalam akaun peribadinya.

Najib meninggalkan Pejabat Unit AMLA pada 1:05 petang tadi selepas lebih tiga jam memberi keterangan. -MalaysiaGazette