Peguam bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shafee Abdullah ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menghadapi beberapa pertuduhan anak guamnya mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 20 SEPTEMBER 2018
KUALA LUMPUR – Kes pengubahan wang haram yang dihadapi peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan didengar di Mahkamah Tinggi.

Ini berikutan Hakim Datuk Azman Abdullah membenarkan permohonan Muhammad Shafee untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju supaya kes itu dipindahkan.

“Kedua-dua pihak setuju, maka tiada masalah,” kata hakim itu sebelum membenarkan permohonan Muhammad Shafee selaku pemohon yang turut hadir di mahkamah, di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memberitahu mahkamah, pihaknya tiada sebarang bantahan terhadap permohonan Muhammad Shafee, 66, yang diwakili peguam Harvinderjit Singh untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Ketika ditemui media selepas prosiding, Afzainizam berkata surat daripada pihak pendakwaan yang tidak membantah permohonan itu dikemukakan kepada mahkamah pada 28 Sept lalu.

“Kini hakim pun telah membenarkan permohonan berkenaan dan peringkat ini semua pihak akan menunggu sebutan di Mahkamah Sesyen untuk memaklumkan perkembangan terbaru,” katanya.

Pihak pembelaan telah memfailkan permohonan pemindahaan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 24 Sept lepas.

Pada 13 Sept lepas, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 Sept, 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Feb 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Hj Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

–BERNAMA