Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

PUTRAJAYA – Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad demi memburukkan imej bekas Perdana Menteri dan isterinya. 

Katanya, ini kerana Datuk Seri Najib Razak bakal hadir ke mahkamah yang sama untuk pengurusan kesnya.

“Rosmah ditahan atas arahan Tun M di mana Najib hadir pengurusan kes di mahkamah esok.

“Esok juga saya difahamkan Datin Seri Rosmah akan dibawah ke mahkamah untuk tunjukkan ini dua pasangan yang buruk merompak wang,” katanya ketika berucap di himpunan solidariti penahanan Datin Seri Rosmah Mansor oleh SPRM di perkarangan bangunan ibu pejabat suruhanjaya itu bersama kira-kira 50 penyokong.

Tambahnya, menerusi maklumat yang diterimanya, isteri bekas Perdana Menteri itu akan dikenakan ikat jamin dengan jumlah yang sangat tinggi bagi  membolehkannya memasuki penjara Sungai Buloh sehingga hari perbicaraan. 

“Kita ada maklumat Datin Seri Rismah tidak akan dibenarkan diikat jamin. Arahan Tun M dari Amerika Syarikat (AS) memastikan ikat jamin Datin Seri Rosmah tinggi untuk memastikan beliau ke (penjara) Sungai Buloh menunggu perbicaraan,” jelasnya. 

Turut hadir Presiden Pertubuhan Minda & Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao yang menitiskan air mata kerana sedih terhadap penahanan Rosmah yang baginya simbolik seorang ibu. 

Rosmah hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk kali ketiga pagi tadi bagi memberi keterangan berhubung siasatan pengubahan wang haram.

Beliau akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok, jam 8.00 pagi untuk pertuduhan tersebut. 

Dalam masa yang sama Najib dijangka hadir ke mahkamah untuk pengurusan kes. – MalaysiaGazette