Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Nor Adam bercakap kepada media ketika hadir menyatakan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi keterangan kepada Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 OKTOBER 2018.
Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Nor Adam bercakap kepada media ketika hadir menyatakan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi keterangan kepada Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan berdepan dengan 100 pertuduhan. 

Katanya, perkara itu diketahui daripada sumber terdekatnya yang boleh dipercayai. 

Tambah beliau, tindakan itu dilakukan sebagai tujuan menutup mulut Najib. 

“Sekarang ini sudah ada 32 tuduhan. Mereka merancang untuk kenakan 100 tuduhan kepada Najib sebabnya inilah cara untuk menghalang Najib bersuara,” katanya kepada pemberita di lobi Menara KPJ sebentar tadi. 

Terdahulu beliau hadir untuk menyatakan sokongan kepada Najib yang hadir ke Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram agi memberi keterangan berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Lokman dalam masa sama mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) untuk ‘mengurangkan jumlah pemimpin UMNO khususnya sebagai langkah awal menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri. 

Jelasnya, Tun M menggunakan strategi itu bagi menghalang  kerjasama Anwar dengan UMNO juga Pas untuk mengukuhkan kedudukannya. 

“Saya nak maklumkan selain menggunakan Akta Hasutan, Pakatan Harapan hari ini setelah ketiadaaan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), AMLA digunakan sebagai senjata utama untuk menekan secara politik khusus kepada UMNO. 

“Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dijangka selesai 13 Oktober bermakna suka tak suka Tun M terpaksa menunaikan janji menyerahkan tampuk pemeritahan kepada Datuk Seri Anwar.

“Disebabkan ada kemungkinan sekiranya Tun M tidak menyerahkan jawatan (perdana menteri) kepada Anwar, Anwar akan berpakat dengan parti politik lain UMNO dan Pas.

“Maka hari ini Tun M mengambil langkah awal guna AMLA menekan kepimpinan UMNO,” tambahnya. 

Lokman selain itu turut menjangkakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dipanggil untuk memberikan keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu ini. 

Lokman dalam pada itu menganggap cara Pakatan Harapan menggunakan AMLA sebagai tidak menghormati demokrasi kerana dikhususkan kepada musuh politik sahaja. 

“Kalau perbuatan ini diteruskan bukan sahaja ianya tindakan tidak adil kepada musuh politik, malah ia langsung tidak demokratik. Ianya juga jelas menunjukkan kerajaan hari ini tidak menghormati proses demokrasi dan melanggar hak asasi manusia,” ujar Lokman. – MalaysiaGazette