Rosmah Mansor
Peguambela, K. Kumaraendran bercakap kepada media selepas anak guamnya yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes SRC International di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 03 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Peguam K. Kumaraendran memberi jaminan bahawa anak guamnya, Datin Seri Rosmah Mansur akan hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk tujuan pendakwaan esok.

Kumaraendran bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dimaklumkan tentang jenis pertuduhan yang akan dihadapkan kepada isteri bekas Perdana Menteri itu.

“Saya pastikan Datin Seri Rosmah akan hadir ke mahkamah Jalan Duta esok,” katanya pada sidang media di lobi ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Terdahulu SPRM dalam satu kenyataan petang tadi mengesahkan Rosmah ditahan oleh pihak berkuasa itu pada 3.20 petang tadi ketika hadir ke agensi itu untuk dirakam keterangan mengenai skandal SRC International Sdn Bhd.

Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau juga akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8.00 pagi esok untuk kesemua pertuduhan tersebut.

Kumaraendran berkata, pihaknya tidak dimaklumkan berhubung jumlah pertuduhan yang akan dikenakan ke atas bekas pengerusi Jawatankuasa Kerja Permata Negara (PERMATA) itu.

“Jumlah pendakwaan tidak dimaklumkan kepada kami, cuma kami tahu esok beliau akan didakwa di mahkamah.

“Kami juga tidak dimaklumkan jenis pendakwaan akan dituduh ke atas beliau,” katanya.

Kata beliau, pihaknya tidak dimaklumkan tentang lokasi penahanan sama ada di lokap SPRM atau penjara.

“Rosmah ditahan selepas selesai beri keterangan pada jam 3.20 petang tadi. Kami tidak dimaklumkan (Rosmah ditahan di lokap SPRM),” katanya.

Beliau turut memberi gambaran bahawa keadaan isteri bekas Perdana Menteri itu dalam keadaan baik.

“Keadaan Datin Seri Rosmah okay,” katanya lagi. – MalaysiaGazette