Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan melancarkan satu
Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan melancarkan satu "pelan tiada plastik sekali guna" pada 17 Oktober dan intipati program itu termasuk pelaksanaan polisi tiada straw mulai tahun depan.

PUTRAJAYA – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan melancarkan satu “pelan tiada plastik sekali guna” pada 17 Oktober dan intipati program itu termasuk pelaksanaan polisi tiada straw mulai tahun depan.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, apabila dilaksanakan, pengusaha restoran tidak boleh membekalkan straw melainkan diminta berbuat demikian oleh pelanggan.

Walaupun begitu, polisi itu tidak akan dilaksanakan secara serentak di semua negeri selepas mengambil kira tahap kesedaran yang berlainan mengikut tempat.

“Kerajaan negeri akan diberi tarikh yang berlainan bagi membolehkan mereka ada masa yang cukup untuk mendidik orang ramai.

“Polisi ini bagaimanapun dijangka dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun iaitu 2021,” katanya kepada China Press.

Beliau percaya, polisi itu lebih mudah dilaksanakan di Selangor kerana penduduk negeri tersebut mengambil berat akan isu straw yang merosakkan alam sekitar.

Tambahnya, Kuala Lumpur yang akan melaksanakan larangan straw mulai 1 Januari tahun depan akan menjadi contoh untuk negeri lain.

“Petunjuk prestasi (KPI) akan ditetapkan mengikut negeri, tetapi kami akan bertindak lebih ketat ke atas negeri-negeri yang lebih maju,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan