Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir bagi memberi keterangan buat kali ketiga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 03 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Datin Seri Rosmah Mansor nampaknya melalui pengalaman seperti mana  suaminya terpaksa bermalam di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas hadir memberi keterangan pukul 10.45 pagi tadi

Selepas lebih enam jam, tidak ada tanda-tanda Rosmah akan keluar dari SPRM, manakala desas-desus mengatakan beliau telah ditahan dan akan didakwa di mahkamah esok pagi semakin kuat kedengaran.

Ketika selesai memberi keterangan pada 26 September lalu, peguam Rosmah memberitahu bahawa itu adalah yang terakhir isteri bekas perdana menteri itu dipanggil SPRM.

Namun, hari ini Rosmah muncul semula di agensi penyiasatan rasuah itu untuk memberi keterangan berkaitan SRC International.

Beliau dikatakan telah ditahan oleh SPRM kira-kira pukul 3 petang dan akan dibawa ke mahkamah esok.

Terdahulu isteri bekas pemimpin UMNO itu yang hadir berpakaian kurung berwarna hijau kelihatan menaiki kereta Proton Perdana berwarna hitam sebelum dibawa masuk oleh pegawai SPRM untuk dirakam keterangan.

Rosmah yang diiringi peguamnya, K Kumaraendran kelihatan tersenyum dan sempat beramah mesra dengan petugas ketika dibawa masuk ke agensi anti rasuah itu.

Rabu lalu, Rosmah diambil keterangan pihak berkuasa itu sehingga 13 jam berhubung dakwaan penyelewengan dana syarikat pelaburan nasional, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini juga, pegawai SPRM menyerahkan notis kepada Rosmah di kediamannya di Taman Duta, Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur untuk dipanggil memberi keterangan.

Laporan media sebelum ini turut melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram. – MakaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan