MUsa Hitam
Tun Musa Hitam

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam enggan ‘campurtangan’ dalam isu permohonan maaf antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah beliau tidak berminat untuk memberikan pandangan berhubung perkara itu yang melibatkan hubungan antara dua seteru kini kembali menjadi rakan politik.

“Saya ada komen tetapi tidak mahu beri komen.

“Anda tidak kenal saya, saya adalah orang lama. Saya sudah lalui ‘perkara’ ini sejak sekian lama,” katanya ringkas sebentar tadi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media pengumuman penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2018 di Hotel St Regis hari ini.

Musa Hitam yang kini antara veteran UMNO pernah mendedahkan dirinya meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986 kerana merasakan dirinya tidak lagi boleh berkhidmat jika mendapat kepercayaan.

Semalam, Anwar memberitahu media beliau tidak pernah mengharapkan permohonan maaf daripada Mahathir sebaliknya sudah memaafkan kisah silam antara mereka sejak sekian lama.

Dalam wawancara bersama BBC kelmarin, Tun Mahathir mendedahkan, ada pihak lain yang membuat pelbagai andaian kononnya beliau perlu meminta maaf ekoran tindakannya memecat Anwar yang mejawat jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

“Itu pendapat beliau. Saya tidak pernah memberitahunya, tapi orang lain yang mahu saya memohon maaf.

“Tetapi saya tidak pernah buat sebarang permohonan maaf secara formal kepada beliau,” katanya dalam temubual tersebut. – MalaysiaGazette