KUALA LUMPUR – Polis menahan bapa saudara kepada kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terperangkap dalam mesin basuh di sebuah dobi layan diri di Bukit Sentosa, Rawang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Lim Bak Phai berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah Hulu Selangor kira-kira 11 malam semalam.

“Suspek dipercayai memasukkan anak saudaranya ke dalam mesin basuh dengan niat untuk bergurau menyebabkan mangsa terperangkap kira-kira 20 minit.

“Mangsa kemudiannya berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam serta polis dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, suspek kini direman selama empat sehingga Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

Selain itu, Lim berkata, pihak polis telah mengambil keterangan ibu mangsa dan akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

“Ibu mangsa sebelum ini membuat laporan anaknya itu hilang dan secara tiba-tiba berada di dalam mesin basuh,” katanya.

Kejadian yang berlaku pada awal pagi Selasa berkenaan tular di laman sosial facebook memaparkan rakaman berdurasi satu minit detik cemas kanak-kanak yang terperangkap di dalam mesin basuh itu diselamatkan oleh orang awam. – Bernama