KUALA LUMPUR – Kolumnis terkenal majalah Forbes, Tim Treadgold memberi bayangan  ura-ura kerajaan baharu mahu menutup Lynas Corporation Ltd sebenarnya adalah berita buruk untuk Amerika Syarikat (AS) dan baik untuk China.

Ini berikutan, pengeluar peralatan berteknologi tinggi dan canggih AS akan menghadapi masalah kerana penapisan nadir bumi kini merupakan sumber terbesar kritikal di luar China.

Antaranya seperti kereta elektrik, magnet kekuataan tinggi, laser serta sistem panduan roket bergantung beberapa peringkat untuk membentuk nadir bumi yang mempunyai logam tidak jelas seperti neodymium, praseodymium, dysprosium juga yttrium.

Menurut Treadgold dalam Forbes, China telah menguasai pengeluaran nadir bumi selama beberapa dekad sehingga adakalanya menggunakan kawalan pasaran untuk memanipulasi bekalan.

“China akan bertindak menyekat eksport dan bahan simpanan untuk pengeluarnya sendiri sehingga boleh mengakibatkan kejatuhan pengeluaran global dan kenaikan harga yang luar biasa.

“Apa yang berlaku di Malaysia akan dilihat dengan teliti oleh pengguna nadir bumi di seluruh dunia kerana kemudahan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) telah menjadi sumber utama nadir bumi serta alternatif kepada bahan Cina yang menyumbang 80 peratus daripada bekalan global manakala 78 peratus daripada import AS.

“Kehilangan LAMP sebenarnya akan memulihkan monopoli China dalam pengeluaran nadir bumi dan hanya menyerahkan alat berguna dalam perang perdagangannya dengan AS.Lynas telah memecahkan monopoli tumbuhan nadir bumi China,” jelas Threadgold.

Threadgold merupakan penulis terkenal yang menulis tentang isu berkaitan perlombongan bagi Forbes.

Pada awal Julai lalu, Kabinet mengarahkan satu jawatankuasa khas diketuai ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack memantau dan mengkaji semula operasi kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Kuantan.

Jawatankuasa itu mahu mengkaji operasi Lynas dan kemudahan LAMP di Kuantan sehingga mengundang ketakutan berhubung penutupan yang akan menjejaskan pengeluar di AS malah Eropah.

Lynas
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Corporation, Amanda Lacaze (tengah) beramah mesra bersama kakitangan Lynas Corporation pada sidang media khas Lynas Corporation di Hotel Aloft, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 02 OKTOBER 2018

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze jugamelahirkan  kebimbangan ratusan rakyat Malaysia berkemungkinan berhadapan dengan risiko kehilangan pekerjaan sekiranya operasi syarikat ini ditutup.

Malah Amanda turut merayu agar kerajaan baharu yang kini lantang dengan prinsip ketelusan agar menonjolkan sikap itu terhadap syarikatnya dan kajian semula operasi itu dijalankan dalam keadaan dengan cara paling adil, telus, saintifik serta mematuhi peraturan yang sewajarnya. – Malaysia Gazette