GENEVA – Pihak berkuasa Yemen yang sedang bergelut dengan penyakit taun di negara itu kini boleh mula menarik nafas lega apabila mendapat campurtangan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Agensi melaporkan, WHO dalam satu sidang media lewat semalam berkata, pihaknya akan membantu pusingan kedua vaksinasi menentang taun di tiga daerah paling teruk terjejas.

WHO  menyebut, wabak penyakit maut itu mula meningkat sejak perang malah setakat ini lebih 2,500 orang meninggal dunia akibat jangkitan wabak terburuk taun dalam sejarah bermula April 2007.

Setakat ini sahaja, hampir sejuta kes telah dilaporkan di seluruh negara dengan antaranya dalam keadaan kritikal.

Menurut jurucakap rasmi WHO, Tarik Jasarevic, statistik juga menunjukkan penurunan baru-baru ini namun tidak menolak kemungkinan akan ada peningkatan mendadak pada bila-bila masa sahaja.

“Kami menjadi saksi kepada turun naik jumlah kes taun di Yemen sejak April tahun lepas dan peningkatan semakin ketara sejak beberapa minggu terutamanya sejak tiga minggu ini.

“Walaupun ada penurunan angka sejak tahun lepas namun untuk meningkat kembali bukan mustahil juga. Kami mengambil langkah berjaga-jaga ketika ini.

Dalam tempoh lapan bulan pertama pada tahun ini, Yemen mencatatkan hampir 155,000 kes taun termasuk 197 kematian.

Tetapi pada minggu terakhir Ogos lalu, sebanyak 9,425 kes dicatatkan di seluruh negara dan seminggu kemudian, angka terbabit meningkat kepada 11,478.

Tarik juga memberi amaran berkemungkinan besar akan berlaku gelombang ketiga terutamanya ketika hujan musim luruh meningkatkan risiko jangkitan selepas dilanda dua wabak taun besar-besaran dalam tempoh kurang dua tahun.

“Sebagai langkah awal dan berjaga-jaga kita juga melalui kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sudah mula menyediakan dos kedua vaksin oral dua dos di tiga daerah terjejas paling teruk.

Taun melanda Yemen

“Ini berikutan Ogos lalu, hampir 390,000 daripada lebih 500,000 orang disasarkan di daerah Al-Hali dan Al-Marawiah di pentadbiran Hodeida dan di Hazm Al Udayn di wilayah Ibb menerima dos pertama.

“Kali ini, kita sasar sekurang-kurangnya 540,000 orang bagi pengambilan vaksin itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan