Tinjauan lensa MalaysiaGazette berkenaan cukai SST pusat membeli-belah di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 01 SEPTEMBER 2018.

SEREMBAN – Sebanyak 51 item dalam sektor perkhidmatan mengalami kenaikan harga manakala 29 item dalam sektor pengeluaran makanan pula mengalami penurunan harga sejak pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 Sept lalu.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Zubir Hamsa berkata kenaikan harga 51 item itu adalah antara lima dan 10 peratus melibatkan perkhidmatan servis kenderaan dan perhotelan.

“Menariknya 29 item dari sektor pengeluaran iaitu kilang pengeluaran makanan telah mengalami penurunan harga dan harga tersebut adalah lebih rendah berbanding semasa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) iaitu antara empat hingga enam peratus,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan pelaksanaan SST bersama Kastam Diraja Malaysia (KDRM), di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua itu dikesan dalam pemeriksaan dan semakan berkaitan maklumat harga dan SST di 12 premis yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran dan lima premis penyedia perkhidmatan di Seremban, Senawang, Nilai dan Port Dickson.

“Berdasarkan pemantauan terhadap 384 barang dan perkhidmatan tersebut sebanyak 304 item lagi tidak berubah harganya,” katanya.

Pelaksanaan Operasi Catut 5.0 dan Pemeriksaan SST melibatkan 22 pegawai KPDNHEP negeri dan 15 Pegawai KDRM Negeri Sembilan yang diketuai oleh Penolong Pengarah Kanan KDRM negeri Wan Abdul Halim Wan Mohd.

Zubir juga mengingatkan pengguna agar membuat laporan kepada KPDHEP jika terdapat perubahan harga dan aktiviti pencatutan.

“Boleh kemukakan aduan dengan keterangan yang jelas, butiran lengkap berkaitan dengan alamat tempat yang diadu, butiran barangan dan harga serta resit pembelian supaya memudahkan siasatan dan tindakan ke atas peniaga tersebut,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan