Anwar Ibrahim menari bersama artis berpakaian seperti MGR di majlis Malam Kebudayaan Indian di Spring Hill,DUN Lukut malam tadi.

PORT DICKSON – Datuk Seri Anwar Ibrahim teruja dan tidak duduk diam selepas lagu klasik Tamil tahun 70-an lakonan artis tersohor Tamil Nadu, India iaitu MGR yang dimainkan di Malam Kebudayaan India di Spring Hill, Lukut malam tadi.

Beliau yang hadir bertemu komuniti India tempatan tiba tiba bangun dari tempat duduk dan terus menuju ke pentas dan menari besama.

Situasi itu telah mengejutkan kira-kira 600 pengundi India, selain masyarakat Melayu dan Cina yang menunggu kehadiran calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Port Dickson itu sejak pukul 8 malam.

Lagu bertajuk Naan Aanaiyittaal atau bermaksud ‘Jika saya memberi arahan’ itu turut diiringi dengan artis memakai kostum seperti MGR atau MG.Ramachandran.

Aksi Anwar menari itu mendapat tepukan orang ramai.

Kata Anwar, lagu itu merupakan kegemarannya sejak usia muda lagi sebagai inspirasi untuk mendekati rakyat.

“Saya tahu lagu ini bermula dengan ‘kalau saya mengarah dan jika ia terlaksana, warga miskin tidak akan menderita, mempunyai makna yang kuat untuk setiap individu yang berperanan sebagai pemimpin” katanya semasa berucap di hadapan masyarakat pengundi tempatan di perumahan Spring Hill di sini.

Beliau mahu mencontohi prinsip kehidupan MGR yang juga pernah menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu untuk berkhidmat kepada warga Port Dickson jika diberi mandat mewakili mereka pada 13 Oktober ini.

Katanya, beliau akan membawa pembangunan adil dan saksama untuk masyarakat berbilang kaum di kawasan Parlimen itu.

Malah, Anwar mengingatkan masyarakat setempat bahawa PRK kali ini bukan sesuatu pemilihan biasa.

“Sebaliknya PRK ini akan menentukan sokongan dan dokongan anda kepada kerajaan. Tanpa kerjasama anda saya tidak boleh menyerlah,” tegasnya.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan