Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim (kanan) berkenan melancarkan Buku "Marriage and Mutton Curry" yang ditulis oleh Datuk Dr. M.Shanmughalingam (kiri) di Black Box, Pusat Membeli Belah Publika, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memupuk tabiat membaca di negara ini, rakyat khususnya golongan dewasa digesa memberi buku sebagai hadiah.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah bertitah, golongan dewasa berperanan memupuk tabiat itu bermula dalam majlis-majlis keraian.

“Sebagai satu cara untuk menggalakkan tabiat membaca buku di Malaysia dalam kalangan orang dewasa dan pelajar, saya menyeru agar semua rakyat Malaysia memberikan buku sebagai hadiah.

“Mereka boleh diberikan sebagai hadiah untuk sebarang majlis sama ada hari lahir dan ulang tahun, ucapan terima kasih, tahniah, maaf atau perpisahan,” katanya bertitah melancarkan buku Marriage and Mutton Curry di Publika, di sini, hari ini.

Turut sama mencemar duli, Raja Permaisuri Perak, Tunku Zara Salim dan penulis buku Marriage and Mutton Curry, Datuk M.Shanmughalingam.

Baginda juga bertitah, langkah itu bagi mengatasi masalah tabiat membaca di negara ini yang membimbangkan apabila hanya tiga peratus sahaja rakyat membaca buku berbanding medium lain.

“Laporan diterbitkan pada 2016 mendapati bahawa daripada 85 peratus rakyat Malaysia membaca secara teratur, 7 peratus lebih suka akhbar, manakala 3 peratus membaca majalah, dan hanya 3 peratus membaca buku,” titahnya.

Titahnya lagi, rakyat Malaysia membaca lebih sedikit buku apabila mereka meninggalkan institusi pendidikan.

“Bagaimanakah kita memupuk dan memperluas kumpulan kecil pembaca fiksyen Malaysia? Bagaimanakah kita boleh merangsang tabiat membaca untuk keseronokan dalam kalangan rakyat Malaysia?

“Buku cerita pendek seperti Marriage and Mutton Curry boleh dijadikan bahan bacaan kepada mereka yang kerap menggunakan MRT, LRT, teksi, keretapi dan pesawat untuk galak tabiat itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan