Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menang mudah dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson 13 Oktober ini.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali berkata, jangkaan itu bersandarkan kepada trend pengundi Pas memberi undi kepada calon mereka, manakala orang UMNO pula akan mengundi calon Bebas, Tan Sri Isa Samad, Saiful Bukhari dan dua yang lain.

Selain itu, katanya, Anwar juga akan mendapat sekurang-kurangnya 80 peratus undi Cina dan India serta 30 peratus lebih undi orang Melayu iaitu penyokong PH dan undi dari anggota tentera.

“Semua calon bebas pula akan hilang deposit, masing-masing mendapat jumlah undi yang sedikit, kecuali Pas.

“Banyak pihak bertanya pada saya kenapa Isa dan Saiful bertanding atas tiket bebas. Saya yakin Isa ada matlamat terancang yang dia sendiri tahu jawapannya, selain bercita-cita mahu menang Parlimen Port Dickson.

“Saiful pula mungkin mendapat dorongan atau motivasi dari dirinya sendiri atau kemungkinan juga ada pihak tertentu memberi rangsangan kepadanya, selain tidak lebih untuk memalukan Anwar dengan kes liwatnya,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Menurut Dr Ibrahim, jika benar sebagaimana diramalkan itu, PRK ini adalah rezeki Anwar, sedangkan Isa jika kalah, tidak rugi apa-apa kerana dia sudah meninggalkan UMNO dan parti orang Melayu itu juga telah layu serta hilang segala-galanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau juga tertanya-tanya apa matlamat
sebenar bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu bertanding, sama ada hendak menyekat Anwar atau mahu membantu pecah undi untuk memenangkan Presiden PKR itu.

Beliau turut menjelaskan, apa yang menarik PRK Port Dickson ini ialah kesungguhan pihak tertentu menghalang Anwar dari bertanding, apatah lagi pelbagai usaha dilakukan bagi memastikannya kalah.

“Matlamat utama pihak terbabit ialah menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri kelapan, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini jelas sekali apabila berita berbentuk mengaibkan Anwar viral dan tersebar luas dalam medium media sosial. Yang paling sibuk dan bising adalah dalam kalangan individu yang juga penyokong PH dan Malaysia baharu. Ia sungguh luar biasa.

“Namun, manusia boleh merancang, hanya Allah yang menentukan-Nya. Saya masih ingat peristiwa 1997/1998 dan setelah 20 tahun Anwar berjaya kembali di persada utama politik negara,” katanya.