Saiful Bukhari Azlan mendekati dan mengedarkan risalah kempen meraih undi kepada ibu bapa murid SK Kampung Gelam,Port Dickson petang tadi

PORT DICKSON – Saiful Bukhari Azlan menyerahkan kepada undang undang dan mahkamah untuk menterjemahkan status kelayakan bertanding Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 13 Oktober ini.

Calon bebas yang menentang Anwar dari Pakatan Harapan itu berkata, beliau tidak sedia maklum mengenai isu yang mana beberapa calon lain mendakwa Ketua Umum PKR itu tidak layak bertanding kerana tidak mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Diminta mengulas pendapat beliau, Saiful menjawab: “Saya tidak sedia maklum tentang isu itu dan tidak mahu komen mengenainya.

“Saya serahkan kepada undang undang dan saya bukan pakar dalam hal undang-undang untuk meneliti dan menilainya.

“Saya membiarkan mahkamah menterjemahkan perkara itu mengikut apa yang ditetapkan dalam perlembagaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Komen Saiful menyusul selepas calon bebas yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad meramalkan Parlimen itu akan berdepan satu lagi PRK selepas pemilihan kali ini dimenangi Anwar.

Sebelum ini Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa Anwar tidak layak bertanding dalam PRK kali ini disebabkan dia tidak mendapat pengampunan penuh tetapi hanya diperkenankan pengampunan penuh.

Malah, Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga berkata, pengampunan yang diberikan YDPA adalah berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang merujuk kepada kuasa beri ampoun tunda hukum dan lega hukum berkenaan kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah.

Bagaimanapun di bawah Perlembagaan Persekutuan peruntukan khas untuk membolehkan seseorang yang telah hilang kelayakan daripada menjadi ahli Parlimen hanya boleh dibatalkan melalui pengampunan bebas dibawah Perkara 48 (1)(e).

Mengulas mengenai kempennya, Saiful Bukhari berkata, dirinya teruja dan seronok berjumpa dengan pengundi di kawasan Parlimen itu meraih sokongan mengundi menjelang hari mengundi pada 13 Oktober ini.

Katanya, suasana seronok apabila mendapat respons positif daripada masyarakat tempatan.

“Tempoh berkempen memasuki hari kelima dan keenam sehingga kini saya cuba memujuk pengundi supaya keluar mengundi beramai-ramai pada Sabtu minggu hadapan.

“Mereka kelihatan agak penat sebab baru lima bulan mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 9 Mei lalu,” katanya ketika ditemui semasa walkabout bertemu ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan Kmapung Gelam dekat sini.

Tambah Saiful setakat ini kira kira lebih 3,000 pengundi tempatan telah didekati beliau secara bersemuka seorang demi seorang.- MalaysiaGazette