Tan Sri Shafee Abdullah bercakap kepada media selepas mendengar beberapa pengurusan kes Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Pembaca tidak dapat apa-apa kebenaran tentang skandal 1Malaysia Development Berhad daripada buku Billion Dollar Whale kerana buku itu ditulis untuk tujuan filem.

Buku itu diterbitkan tanpa maksud perundangan kerana pengarang-pengarang buku tersebut bukannya peguam.

“Anda tidak boleh mengharapkan kebenaran daripada sesuatu (buku) yang bertujuan dijadikan filem,” kata peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Mengulas mengenai tulisan Billion Dollar Whale yang mendakwa Datuk Seri Najib Razak mengetahui tentang wang telah dideposit dalam akaunnya, Shafee berkata: “Sudah tentu, itulah yang berlaku.”

Bagaimanapun, peguam terkenal itu berkata, itu bukan isunya.

“Pengarang-pengarang buku tersebut tidak memahami yang Najib nyatakan bahawa beliau tidak tahu jika wang berkenaan diperoleh daripada hasil yang haram…dan ia adalah berbeza maksud antara kedua-duanya.

“Seandainya pengarang-pengarang ituma memilih menjadi naif atau tidak berpendidikan, maka mereka kekalkan begitu, itulah buku Hollywood.

“Tak boleh harap kebenaran daripada sebuah buku untuk dijadikan filem,” katanya yang mengakui sudah tiga kali membaca tersebut.

Sebab itu, dalam satu sidang media, kata Shafee, ada pihak yang bertanya kepada pengarang-pengarang Billion Dollar Whale adakah mereka mempunyai dokumen, bukti yang boleh digunakan di mahkamah untuk mensabitkan kesalahan terhadap Najib dan Jho Low.

Tetapi, jawapan mereka: “Saya bukan pendakwa raya, jangan tanya saya”, kata Shafee.

Menurut Shafee, pembaca sepatutnya membaca kesemua tiga volum laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berhubung 1MDB kerana ia lebih klinikal undang-undang berbanding isi kandungan Billion Dollar Whale yang tidak konsisten.

Tambahnya, dalam kebanyakan kandungan buku berkenaan, pengarang-pengarangnya mengakui Najib telah ditipu oleh Jho Low dan individu-individu Arab yang ada kaitan dengan Jho Low.

Shafee berkata, sebagai peguam beliau memang mengharapkan kehadiran Jho Low sebagai saksi untuk memberi keterangan di mahkamah.

“Jika Jho Low akan munculkan dirinya. Kita boleh mencari kebenaran, kita mempunyai banyak dokumen tetapi tidak ada manusia yang boleh beri bukti, yang boleh memberi makna dan kandungan kepada dokumen-dokumen.

“Ia boleh memberi faedah kepada pendakwa raya dan peguam bela,” katanya yang berbesar hati untuk menyoal balas Jho Low kalau berpeluang. – MalaysiaGazette