Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran bersama barisan Jawatankuasa Jawatankuasa Bebas Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Bebas Mengenai Pengurusan Pekerja Asing diberi tempoh sehingga bulan November 2018 untuk menyiapkan kajian berkaitan pengurusan pekerja asing di Malaysia.

Kajian itu kemudian akan membentangkan Memorandum mengenai hasil kajian dan syor penambahbaikan untuk pertimbangan dan persetujuan pihak kerajaan.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Hishamuddin Yunus, bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan turut dianggotai oleh sembilan orang ahli yang terdiri daripada wakil akademik, wakil Civil Society Organisation (CSO), pakar dan tokoh dalam bidang perundangan, ekonomi dan pasaran buruh.

Kementerian Sumber Manusia berkata, Kabinet pada 29 Ogos 2018 telah bersetuju
dengan keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Pengurusan Pekerja Asing pada 14 Ogos 2018.

Menurutnya, jawatankuasa ini akan diurusetia oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), Kementerian Sumber Manusia bagi melihat secara menyeluruh mengenai dasar dan pengurusan pekerja asing.

Sesi libat urus ini akan diadakan di seluruh negara dan dijadualkan bermula pada Selasa, 9 Oktober 2018 di Terengganu.

Kesemua sesi libat urus ini akan melibatkan wakil majikan, pekerja, ahli akademik, Civil Society Organisation (CSO) dan pengamal media.

Selain itu, mana- mana pihak yang mempunyai kepentingan di dalam isu penggajian dan pengurusan pekerja asing adalah turut dijemput hadir ke sesi ini. – MalaysiaGazette