Datuk A. Kadir Jasin
A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu penubuhan Majlis Media Malaysia yang diperjuang warga media sejak 1974 dipercepatkan, kata Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri Datuk A Kadir Jasin.

Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun tidak akan bertindak menubuhkan majlis itu sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada warga media untuk mengusahakan penubuhannya.

“Saya gembira kerana pengarang media tradisional, elektronik dan dalam talian telah mula mengadakan perbincangan dan forum bagi menubuhkan majlis itu.

“Saya juga telah bercakap dengan pihak berkenaan, mencadangkan proses penubuhan itu dipercepatkan, malah proses itu turut dimaklumkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Menjunjung Kebebasan Media: Azam Kerajaan Baharu sempena Forum Media Kebangsaan 2018-Merealisasikan Kebebasan Media Era Pakatan Harapan anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di sini hari ini.

A Kadir berkata, kerajaan juga boleh mengusahakan majlis media diberikan perlindungan undang-undang termasuk diletakkan di bawah kelolaan dan pembiayaan Parlimen.

Beliau berharap kelompok yang membincangkan penubuhan majlis itu dapat mengadakan satu forum atau perjumpaan lebih besar melibatkan pemilik syarikat, pertubuhan media, guru kewartawanan dan komunikasi serta badan profesional sebelum akhir tahun ini bagi memperhalusi apakah bentuk Majlis Media Malaysia yang sepatutnya ditubuhkan.

Tugas menubuhkan majlis media perlu menjadi usaha bersama dan kerajaan berpandangan kepentingan media mesti dijaga oleh golongan media sendiri tanpa melibatkan kawalan atau campurtangan orang luar, katanya.

Dalam pada itu, A Kadir berkata kerajaan berpandangan media tidak seharusnya dimonopoli atau menjadi milik mana-mana syarikat berkaitan kerajaan serta parti politik tetapi harus menjadi kehendak masyarakat.

Beliau berkata menjadikan industri media sebagai perniagaan koperasi dengan membentuk pemegang amanah adalah antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengelak media dimonopoli kumpulan tertentu.

A Kadir turut menarik perhatian bahawa elemen pemberitaan oleh syarikat dan agensi media masih belum mengadaptasi sepenuhnya makna kebebasan media yang diberikan PH selepas membentuk kerajaan pasca 9 Mei lepas.

Beliau berkata media seolah-olah masih terkongkong dengan cara kerajaan sebelum ini sehingga tidak dapat membebaskan minda menerokai isu-isu besar yang boleh dilaporkan seiring kebebasan yang ditawarkan.

“Sepatutnya, apabila berkuasa, PH cenderung menghukum media yang tidak berlaku adil kepada mereka sebelum ini, namun sebaliknya memberi sepenuh kebebasan kepada media yang saya lihat tidak digunakan sepenuhnya oleh media ketika ini,” katanya.

Menyentuh sama ada pejabat Perdana Menteri menetapkan garis panduan tertentu kepada media, A Kadir berkata tidak ada, malah spesifikasi tugas beliau tidak membenarkan sebarang arahan diberi kepada pihak lain selain kepada Perdana Menteri.

Rakan wartawan dan pengarang juga memaklumkan kepada saya mereka tidak menerima sebarang arahan atau ‘wahyu’ daripada mana-mana menteri atau pegawai politik sejak PH membentuk kerajaan, katanya. – MalaysiaGazette