Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ketika memberi penghormatan terakhir kepada keenam-enam jenazah penyelam PPDA yang maut semasa SAR. Kerajaan Selangor hari ini mengarahkan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) menutup kawasan lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ketika memberi penghormatan terakhir kepada keenam-enam jenazah penyelam PPDA yang maut semasa SAR. Kerajaan Selangor hari ini mengarahkan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) menutup kawasan lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor hari ini mengarahkan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) menutup kawasan lombong di Taman Putra Perdana, Puchong sejurus operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang lemas di lombong itu, selesai.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata langkah penutupan itu perlu, susulan beberapa kes mati lemas direkodkan di kawasan itu dan terbaru, membabitkan enam anggota bomba yang menyertai operasi SAR tersebut malam tadi.

“Saya dapat laporan ini bukan kejadian pertama (lemas di lombong) dan saya telah arahkan Majlis Perbandaran Sepang tingkat kawalan keselamatan temasuk menutup kawasan itu.

“Penutupan akan dilakukan secepat mungkin sebaik operasi SAR selesai kerana SAR kini masih berlaku di lokasi terbabit,” katanya kepada pemberita selepas bertemu keluarga dan waris, anggota bomba yang maut itu di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 di sini, hari ini.

Turut serta, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohamad Hamdan Wahid.

Amirudin berkata pihaknya turut mengarahkan majlis perbandaran itu untuk menutup laluan ke lombong berkenaan, berikutan kawasan tersebut sering menjadi tempat orang ramai untuk memancing.

“Di kawasan itu saya difahamkan ada jeti yang menjadi laluan di lombong itu yang kini dinaik taraf bagi tujuan kawasan tadahan air hujan.

“… dan jeti itu bukan untuk tujuan memancing, sekiranya orang ramai mahu memancing saya nasihat carilah kawasan yang lebih selamat,” tambahnya.

Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan Selangor juga bersetuju untuk memberi sumbangan berjumlah RM20,000 kepada setiap keluarga dan waris, anggota bomba yang maut tersebut.

Beliau berkata sumbangan itu dibuat bagi menghargai jasa sepanjang penugasan mereka selain untuk meringankan beban keluarga dan waris masing-masing.

“Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga anggota bomba yang maut.

“Kami hargai sumbangan dan pengorbanan mereka dan berharap sumbangan ini dapat mengurangkan beban serta kesedihan mereka,” kata Amirudin.

Terdahulu, enam jenazah anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat yang lemas dalam operasi SAR itu, selamat disembahyangkan di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 kira-kira 9 pagi ini.

Dua daripada mereka dari balai bomba Shah Alam manakala empat lagi dari balai bomba Pelabuhan Klang.

— BERNAMA