Dana kira-kira RM20 juta adalah peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedia ada untuk Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan hanya sebahagian akan digunakan bagi pembangunan prototaip kereta nasional ketiga, kata Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Mohd Redzuan Md Yusof

CYBERJAYA – Projek kereta nasional baharu dijangka melancarkan model pertamanya sebelum 2020, kata Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof.

Beliau berkata kereta semi-autonomous (separa pemanduan sendiri) itu dirancang untuk memasuki pasaran dunia bagi memenuhi permintaan daripada generasi muda.

“Kami kini sedang menyenarai pendek dua hingga tiga rakan kongsi untuk menyertai projek ini termasuk Silterra dan CTRM, dan menjangka (pemilihan) akan dimuktamadkan hujung tahun ini.

“Prototaip untuk model (kereta) ini dijangka siap awal tahun depan,” katanya kepada pemberita pada taklimat media mengenai projek kereta nasional baharu itu, di sini, hari ini.

Mohd Redzuan berkata projek tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta dengan bantuan beberapa kementerian.

Ditanya sama ada projek ini berdaya maju memandangkan masa yang singkat untuk disiapkan, beliau berkata projek tersebut akan menggunakan teknologi terkini.

“Kereta baharu ini akan menggunakan 100 peratus teknologi disruptif dan tidak mengikut (kaedah) pembuatan kereta konvensional,” katanya.

Hadir sama pada taklimat itu ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (Might) Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata projek tersebut benar-benar baharu dan mempunyai kelainan berbanding projek kereta nasional sedia ada dan mengguna pakai Industri 4.0.

Beliau berkata peranan Might adalah untuk memberi penekanan tentang kepentingan mewujudkan kereta baharu bagi membantu merangsang pembangunan.

“Selain itu, Might juga diberikan mandat menyelaras dengan pelbagai kementerian, agensi dan industri, serta ahli akademik bagi memastikan projek itu berjaya,” katanya.

— BERNAMA