Datuk K. Kumaraendran

KUALA LUMPUR – Kertas pertuduhan Datin Seri Rosmah Mansor langsung tidak menyebut tentang kaitannya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam bela Rosmah, Datuk K. Kumaraendran berkata, meskipun terlalu banyak yang menyebut secara terbuka bahawa Rosmah akan didakwa berhubung kes pengubahan wang haram (AMLA) dengan syarikat pelaburan itu, namun kertas pertuduhan tidak menunjukkan sedemikian.

“Terlalu banyak yang disebutkan tentang AMLA dan 1MDB tapi dalam kertas pertuduhan tidak menyebut tentang 1MDB,” katanya kepada media.

MGF04102018_DS NAJIB DAN DS ROSMAH MAHKAMAH32
Peguam Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Geethan Ram Vincent (kiri) dan Datuk K. Kumaraendran (kanan) bercakap kepada media selepas selesai hadir mendengar pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti HAram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2018

Mengulas lanjut, seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent berkata, hujah yang digunakan oleh pihak pendakwa raya bahawa wujud laporan polis mengatakan isteri bekas Perdana Menteri itu mengganggu saksi adalah tidak berasas.

“Rujukan mengatakan terdapat laporan polis yang dikatakan wujud hari ini mendakwa Datin Rosmah mengganggu saksi adalah tidak berasas kerana dia tidak pernah dipanggil memberi keterangan dan diberi ruang memberi penjelasan,” tambahnya.

Rosmah hari ini didakwa menghadapi 17 pertuduhan kerana terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta.

Bagaimanapun, Rosmah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Hakim Azura Alwi mengarahkan agar pasport antarabangsa Rosmah diserah kepada pihak mahkamah, selain tidak membenarkannya untuk mengganggu saksi-saksi.

Rosmah diarahkan untuk membayar jaminan sebanyak RM500,000 pada hari ini manakala selebihnya perlu dibayar sehingga atau pada 11 Oktober atau Khamis depan.

Tarikh sebutan semula kes pada 8 November.- MalaysiaGazette