Allahyarham Mohd Fatah Hashim
Allahyarham Mohd Fatah Hashim

KUANTAN – Isteri kepada Mohd Fatah Hashim, anggota bomba yang terkorban dalam tragedi lemas di Puchong semalam, tidak menyangka mimpi buruk tentang kematian suaminya yang dialami sejak dua minggu menjadi kenyataan semalam.

Nur Nadia Kamaludin, 29, berkata, dia berulang kali mimpi berkenaan dan pernah menceritakan tentang perkara itu kepada suaminya, namun Mohd Fatah, 34, hanya ketawa.

“Suami hanya menganggap itu mainan tidur dan saya tidak menyangka perkara yang saya takuti itu (kematian suami) akhirnya berlaku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Beserah, di sini petang ini.

Turut mengiringi jenazah, Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Nor Hisham Mohammad dan kira-kira 200 orang ahli keluarga, rakan sekerja serta kenalan.

Nadia yang mempunyai dua cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan suaminya iaitu Nur Medina Aisyah, tiga tahun dan Muhammad Meqa Al Asyraf, setahun setengah pernah berkongsi tentang perkara itu dengan ibu angkat mereka, Mistira Basir, 68.

Ketika itu, suaminya sedang menjalani kursus penyelamatan di air selama seminggu di Pulau Perhentian, Terengganu bulan lalu.

Namun ibu angkatnya yang tinggal berhadapan dengan rumahnya di Kampung Delik, Pelabuhan Klang, Selangor menasihatinya supaya banyakkan berdoa untuk keselamatan suaminya itu.

“Saya hanya mengetahui kejadian yang menimpa suami menerusi salah seorang isteri anggota bomba, apabila saya telefon balai, mereka cuma maklum ada sedikit masalah.

“Mungkin pegawai tak sampai hati nak bagi tahu saya, beliau hantar anggota ke rumah untuk memberitahu tentang kejadian itu,” katanya.

Nor Nadia berkata kali terakhir bertemu suaminya itu pada 11 pagi semalam ketika Mohd Fatah pulang ke rumah untuk makan tengah hari.

Arwah sempat mencium kedua-dua anaknya sebelum kembali bekerja dan dilihat lebih banyak berdiam diri sejak kebelakangan ini, walaupun beliau seorang yang periang.

Mohd Fatah salah seorang daripada enam anggota bomba yang lemas ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat seorang remaja, 17 tahun di Taman Putra Perdana, Puchong malam semalam.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan