KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mewujudkan satu pelan bagi memantau dan menyelenggara sistem saliran dengan lebih kerap dalam usaha mengelak kejadian banjir daripada berulang di kawasan pentadbiran PBT itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, ia membabitkan kawasan tumpuan banjir kilat yang ada dalam senarai untuk tindakan.

Menurutnya, usaha diambil bagi memantau lokasi banjir serta membantu kerja pemotongan pokok tumbang yang menghalang lalulintas disebabkan ribut dan hujan lebat.

“Selasa lalu, di bawah pentadbiran MPSJ ditenggelami air akibat daripada kejadian banjir kilat yang berlaku dan menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk.

“Antaranya di Kampung Sri Aman, Kampung Kenangan, Kampung Tengah, Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Sri Andalas, Persimpangan Bertingkat Puchong Utama dan juga di kawasan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berdekatan dengan susur keluar Bandar Puteri, Puchong.

“Bagi mengatasi masalah banjir itu, pihak MPSJ mengambil tindakan dengan menghantar bantuan awalan melalui Pasukan Pantas MPSJ,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, MPSJ turut mengadakan lawatan tapak di lokasi berkenaan serta melaksanakan kerja pemeriksaan longkang secara menyeluruh di lokasi.

Ujarnya, ia bagi memastikan tiada sebarang halangan yang boleh menyebabkan sistem saliran tersumbat.

“Dalam kejadian ini, MPSJ mendapati antara puncanya adalah disebabkan oleh penerimaan taburan hujan amat tinggi berbanding hari biasa iaitu sebanyak 117mm.

“Ia juga disebabkan limpahan lumpur yang menyebabkan banjir kilat itu berlaku,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/10/02/banjir-kilat-di-lebuh-raya-ldp/