Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
Peguam bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shafee Abdullah bercakap kepada media selepas mendengar beberapa pengurusan kes Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah tidak meminta diberi layanan istimewa khususnya ketika menjalani prosiding mahkamah.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pasangan pemimpin negara itu sewajarnya diberi layanan setara seperti rakyat biasa yang diberikan dokumen sebenar apabila dikenakan pertuduhan jenayah.

“Ini adalah sejarah pertama kali di Malaysia, di mana pendakwaan mula menggunakan format cakera padat (CD)

“Kita hanya minta Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah dan termasuk kes saya sendiri dilayan seperti orang biasa.

“Kami perlu dilayan seperti mana orang lain yang dituduh,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beredar selepas selesai mendengar beberapa pengurusan kes di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 OKTOBER 2018

Beliau mengulas tindakan Ketua Pendakwa raya, Tommy Thomas dalam empat pertuduhan terhadap Najib sebelum ini yang gagal mematuhi Seksyen 51A kerana tidak membekalkan dokumen sebenar.

Sebelum ini Najib menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah melibatkan dana SRC International Sdn Bhd dan satu pertuduhan salah guna kuasa jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan membabitkan RM42 juta.

Muhammad Shafee juga mendakwa tindakan pendakwa raya tersebut dilihat sebagai satu penganiayaan terhadap seorang bekas negarawan.

“Kenapa mereka aniaya kami? Kami dianiaya, kenapa kami diberi format CD apabila orang lain, ribuan malah mungkin jutaan orang diberikan dokumen sebenar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan