Najib Tun Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyifatkan artikel Sarawak Report semalam yang mendakwa media itu tidak pasti beliau bertanggungjawab terhadap kematian Datuk Kevin Morais sebagai sudah terlewat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Sarawak Report adalah blog pertama membuat fitnah kononnya Morais dibunuh lima minggu selepas mendiang merangka kertas pertuduhan terhadap beliau meskipun dinafikannya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull yang dilantik Kerajaan Pakatan Harapan sudahpun menafikan sekali lagi Morais terlibat dalam siasatan 1MDB/SRC.

“Artikel terbaru, mereka berkata mereka tidak lagi pasti bahawa Kevin Morais ialah orang yang merangka kertas pertuduhan terhadap saya.

“Mereka kini menulis juga, “Sarawak Report tidak pernah menyatakan kedua insiden itu – iaitu kematian Kevin dan kes SRC/1MDB – ada kaitan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Paling menjengkelkan, tambah Najib, apabila Sarawak Report menulis: “Nampaknya usaha Najib untuk mengenepikan penglibatan Morais akan dapat membuang segala motif pembunuhan yang berkait dengan tuduhan yang dibuat ke atas bekas Perdana Menteri itu. Beliau (Najib) mungkin betul”.

Kata Najib, pengakuan Sarawak Report itu sudah lewat kerana blog itu sudah berjaya mempengaruhi ramai dengan penipuan dan fitnah jahat bahawa beliau adalah pembunuh. – MalaysiaGazette