Penduduk di beberapa kawasan di Perak khususnya Ipoh panik seketika apabila mendengar bunyi letupan disusuli dengan merasai gegaran sekitar pukul 11 pagi tadi.
Penduduk di beberapa kawasan di Perak khususnya Ipoh panik seketika apabila mendengar bunyi letupan disusuli dengan merasai gegaran sekitar pukul 11 pagi tadi.

IPOH – Penduduk di beberapa kawasan di Perak khususnya Ipoh panik seketika apabila mendengar bunyi letupan disusuli dengan merasai gegaran sekitar pukul 11 pagi tadi.

Insiden itu turut tular dan menjadi persoalan di media sosial apabila terdapat netizen mendakwa gegaran itu disebabkan proses pemecahan batu di kawasa kuari di Simpang Pulai di sini.

Selain itu, ada tular bahawa letupan tersebut adalah latihan serangan menggunakan bom hidup yang dijalankan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bagaimanapun pihak TUDM tidak menerima maklumat mengenai latihan berkenaan.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Jabatan Metreologi Malaysia memaklumkan pihaknya masih belum mendapat maklumat yang sahih mengenai kejadian itu.

“Jabatan Metreologi akan memaklumkan sekiranya ada perkara yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Abdul Rani Alias berkata pihaknya akan menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut.

Seorang pengasuh di sebuah taska di sini, Raja Azura Raja Abdullah, 24, berkata beliau mendengar bunyi letupan dan merasai gegaran ketika sedang memberi makanan kepada anak-anak asuhannya kira-kira pukul 11 pagi tadi.

“Bunyi letupan itu tidak berapa kuat sangat tetapi gegaran itu memang terasa sebab ketika itu saya tengah sibuk bagi budak-budak makan,” katanya.

Seorang penduduk yang tinggal di Taiping berkata beliau mendengar bunyi letupan kuat ketika berada di pejabatnya.

“Saya dan mak terkejut dengar bunyi letupkan kuat, tetapi bunyi tak lama sangat,” katanya.

— BERNAMA