TUDM
Anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat memberikan tabik hormat ketika jenazah Yahya di bawa masuk ke dalam pesawat. Gambar ehsan TUDM

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat penerbangan ihsan membawa jenazah Allahyarham Yahya Ali, anggota bomba yang terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja di lombong dekat Taman Putra Perdana, Puchong, semalam.

Dalam satu kenyataan TUDM berkata, jenazah Allahyarham diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang ke Lapangan Terbang Sibu menggunakan pesawat jenis CN235 pada pukul 2 petang tadi.

Menurut kenyataan itu, pesawat tersebut merupakan aset Detasmen nombor satu Skuadron TUDM dan dikendalikan oleh seorang juruterbang dengan tiga pembantu.

Turut mengiringi penghantaran jenazah Allahyarham iaitu Ketua Setiausaha Kemementerian Perumahan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim.

WhatsApp Image 2018-10-04 at 4.04.46 PM
Pesawat jenis CN235

Dalam kejadian jam 5 petang semalam, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba Malaysia maut ketika cuba menyelamatkan seorang remaja yang dipercayai terjatuh ketika memancing di lombong berkenaan.

Tragedi itu dipercayai berpunca daripada pusaran arus deras akibat hujan lebat yang mengalir ke kawasan tumpuan operasi menyebabkan kesemua mangsa terbelit tali yang mengikat satu sama lain sehingga peralatan menyelam yang dipakai anggota terbabit tertanggal.

Keenam-enam anggota bomba berkenaan berjaya dinaikkan ke darat namun, pasukan perubatan yang berada di lokasi cuba memberi bantuan menyelamat tetapi gagal.

Empat anggota yang disahkan meninggal dunia adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang manakala dua lagi dari BBP Shah Alam. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan