Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tawaran jaminan penerbitan bon Samurai oleh kerajaan Jepun kepada Malaysia akan memberi banyak faedah kepada negara terutama dalam mengurangkan beban kewangan dan dalam soal pembangunan.
Tun Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan kenyataan Nooryana Najwa Najib yang mendakwa kerajaan mengambil tindakan melampau terhadap ibunya yang ditahan akibat pelbagai kesalahan berkaitan penggubahan wang haram.

Nooryana adalah anak sulung Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Dr. Mahathir menjelaskan, semua penahanan itu adalah berasaskan undang-undang dan bukannya satu tindakan membalas dendam.

Kerajaan katanya, meletakkan sepenuhnya keputusan sama ada pasangan tersebut bersalah atau tidak kepada mahkamah.

“Tiada siapa berada lebih tinggi dari undang-undang.

“Sekiranya seseorang itu melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang atau sekiranya seseorang itu dikatakan mencuri wang, maka kita akan bawa ke muka pengadilan.

“Biar mahkamah yang menentukannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Asean mengenai Pengurusan Bencana ke-enam di sini hari ini.

Semalam, dalam satu hantaran di Instagram dengan account handle Yananajib, Nooryana berkata, dia menerima sekiranya tindakan diambil terhadap bapanya yang pernah memegang tampuk kuasa sebelum ini.

Screenshot_2018-10-04-12-20-59
Luahan Nooryana Najwa Najib berhubung penahanan ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor atas dakwaan kesalahan penggubahan wang haram.

Bagaimanapun, anak sulung pasangan Rosmah dan Datuk Seri Najib Tun Razak itu menyifatkan tindakan pihak berkuasa menggeledah rumah neneknya, Tun Rahah Noah dua minggu lalu serta menjalankan pendakwaan terhadap ibunya, Rosmah pada hari yang sama Najib didakwa adalah satu tindakan melampau dan ruang untuk dijadikan sarkas oleh media.

Rosmah hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana melakukan 17 kesalahan melibatkan aktiviti penggubahan wang haram.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga denda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan berbeza, Dr. Mahathir turut menafikan telah mengarahkan polis menahan adik Datuk Lokman Noor Adam kerana menghina beliau.

“Saya tidak pernah mengarahkan pihak berkuasa menahan pihak yang menghina saya walaupun ketika saya menjadi perdana menteri sebelum ini,” tegas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika diminta mengulas mengenai penangkapan adik kepada Datuk Lokman Noor Adam kerana dikatakan menghina beliau.

Jelas Dr. Mahathir, penangkapan tersebut sepatutnya tidak berlaku kerana selama menjadi Perdana Menteri, beliau tidak pernah mengarahkan pihak berkuasa menahan orang yang menghinanya.

Katanya, seseorang ahli politik perlu bersedia untuk dikritik atau dihina.

“Dahulu ada kes di Pulau Pinang di mana seorang individu menghina saya, saya beritahu mereka (pihak berkuasa), jangan ambil sebarang tindakan kepadanya,” katanya lagi.

Dua hari lalu, anggota Majlis Tertinggi UMNO itu memuat naik satu hantaran di Facebook dengan menyatakan adiknya telah ditahan reman selama empat hari di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam kerana menularkan satu hantaran orang lain yang didakwa mengandungi gambar yang menghina Perdana Menteri.- MalaysiaGazette