KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan pelabur kekal tidak memasuki pasaran susulan penyusutan dalam harga minyak, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1450/1500 berbanding 4.1370/1410 penutup Rabu.

Semalam, penganalisis berkata harga minyak akan mula jatuh sebelum hujung tahun ini, sungguhpun ia berkemungkinan meningkat dalam tempoh terdekat.

“Sungguhpun harga berkemungkinan naik berbanding paras semasa bulan ini, pasaran bersedia bagi pembetulan,” katanya.

Penanda aras Brent didagangkan pada AS$85.85 satu tong.

Dolar AS juga mengukuh, dengan pulangan bon Perbendaharaan 10-tahun AS melonjak 12 mata asas kepada 3.18 peratus, tertinggi sejak Julai 2011.

Bon penanda aras bon AS itu juga menokok ke paras tertinggi tujuh tahun berikutan pelabur menjangka satu lagi kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan.

Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0008/0055 daripada 3.0092/0132 Rabu, dan menokok berbanding euro kepada 4.7568/7634 daripada 4.7853/7916.

Ringgit juga mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6229/6283 daripada 3.6344/6382, dan menokok berbanding pound British kepada 5.3611/3696 daripada 5.3798/3870. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan