Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali menempelak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana lantang menyerang calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Abdul Hadi yang dikenali rakyat sebagai kaki pusing bab hukum halal haram sudah jadi Raja Lawak.

“Abdul Hadi betul-betul sudah jadi Raja Lawak. Semua rakyat tahu dia pun kaki pusing halal haram. Putar-belitnya cukup hebat. Dia lupa pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) tahun 2008 pernah bersama Anwar dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Sekarang dia serang Anwar bertubi-tubi, dia menggambarkan seolah-olah Anwar tidak konsisten, kononnya pro kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di zaman serangan mata wang tahun 1998,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Dr Ibrahim, mungkin Abdul Hadi sudah lupa juga tahun itu, Pas menyokong DAP dalam PR yang mencetuskan permulaan wujudnya golongan anti-Melayu dan Islam yang berani menghina umat Islam dan orang Melayu.

Beliau mengajak rakyat berdoa untuk kesejahteraan dan negara ini bebas dari kemelut politik pemain yang sama walaupun bertukar ‘jersi’.

Katanya, rakyat adalah bola yang ditendang oleh pemain yang mahu menjaringkan gol.

“Ini kerana serangan dan pendedahan keburukan Anwar oleh jentera parti lawan tidak lebih dari ulang tayang. Sebelum PRU 14 pun Anwar turut dijulang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerak perubahan.

“Simbol parti PKR diizinkan dan Anwar sanggup melupakan penderitaan yang beliau lalui selama ini. Tiba-tiba apabila Pakatan Harapan (PH) sudah menang dan Barisan Nasional (BN) kalah, maka dimainkan cerita konon Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri, atas alasan moral.

“Saya dulu pun turut serang Anwar dan pada masa sama mempertahankan Tun Mahathir dan UMNO. Ketika itu semua pihak menyerang Mahathir,” katanya.

Beliau berkata, sejarah tidak boleh dipadamkan yang mana pihak mengecamnya dulu kini mengangkat dan menyokong Tun Dr Mahathir.

“Nasib baik ada isu kleptokrasi Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang menjadi modal kemenangan PH pada PRU14. Isu kos sara hidup rakyat dan janji PH kepada rakyat yang luar biasa.

“Keceluparan bahasa yang biadab oleh beberapa pemimpin UMNO untuk menyerang Tun Dr Mahathir sebenarnya membantu kemenangan PH. Tapi, tanpa kerjasama Anwar dan PKR belum tentu PH berjaya menewaskan BN,” katanya yang yakin Anwar akan menjadi Perdana Menteri kelapan.

Menurut Ibrahim, keyakinannya terhadap masa depan Anwar adalah cerah berpaksikan kepada senario politik negara masa kini dan sememangnya tiada calon lain selepas Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ketujuh.

Katanya, pengundi dalam Parlimen Port Dickson sudah tentu bijak berfikir untuk memilih Anwar kerana Tun Dr Mahathir telah berulang kali menyatakan Presiden PKR itu bakal penggantinya.

“Sudah tentulah Tun Dr Mahathir memikirkan yang terbaik untuk negara dan menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri. Kehadiran Anwar juga sudah pasti dinantikan rakyat di Port Dickson, malah di Negeri Sembilan.

“Justeru, saya harap Anwar akan menjadi Perdana Menteri yang baik untuk rakyat dan negara serta menjadikan ranjau duri dan onak yang dilaluinya selama ini sebagai keinsafan,” katanya.

Kata  Ibrahim lagi, pandangannya itu tidak ada apa-apa sentimen, melainkan menyatakannya secara ikhlas atas senario politik semasa negara dan secara akademik.

Beliau harap, tidak ada mana-mana pihak menyalah tafsirkan pandangannya itu.

“Saya tetap tulus dan teguh dengan pendirian ‘berkata benar walaupun pahit’ dan ‘always talk without fear or favour’.

“Saya belajar dari banyak pengalaman pahit, tapi tetap istiqamah dengan perjuangan, namun sudah perit jadi perkakas mana-mana pihak kecuali meneruskan perjuangan atas kebenaran hakiki demi ummah dan negara.

“Saya bukan jenis cakap lain, buat lain. Matlamat sekali-kali tidak akan menghalalkan cara, yang tidak bermoral demi segumpal nasi atau sesudu gula,” ujarnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Lompat sana, lompat sini, boleh caya ke ki ?
    Kita tahu dia hanya ingin menumpang perahu di tambatan anwar.

Comments are closed.