Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri menafikan dakwaan beliau bersetuju dengan Akta Hasutan 1948.

Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, kenyataannya berhubung Akta Hasutan 1948 yang akan diteruskan sehingga pengumuman rasmi pemansuhan tidak bermakna beliau menyokongnya.

“Pihak polis hanya menjalankan tugas mereka selepas terdapat banyak laporan laporan dibuat.

“Sekiranya tiada tindakan diambil pula, dibimbangi persepsi umum terhadap pihak polis juga akan terkesan dan dituduh tidak menjalankan tugas mereka.

“Sebarang bentuk tindakan undang-undang yang diambil pihak polis adalah berdasarkan penelitian mereka sendiri selepas menimbang daripada pelbagai sudut perundangan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Azis, pemansuhan akta tersebut belum dimuktamadkan kerana ia perlu melalui proses di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sama seperti langkah untuk memansuhkan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018.

Ingin ditegaskan, katanya, tidak ada arahan daripada pihak pimpinan kerajaan supaya akta tersebut digunakan ke atas mana-mana individu tertentu seperti didakwa.

“Malah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menggalakkan supaya akta tersebut digunakan.

“Ketika soalan diajukan wartawan sama ada Akta Hasutan masih ada, saya hanya menjelaskan ia masih wujud. Sekiranya pihak yang mengkritik berada di tempat saya, apakah jawapan yang akan diberikan ketika wartawan ajukan soalan itu?

“Adakah boleh anda membuat keputusan membelakangi kabinet?” soalnya.

Mohd. Azis menegaskan, kerajaan PH komited dalam manifesto semasa pilihan raya lalu dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat, namun setiap keputusan perlu melalui proses dan prosedur sebuah pentadbiran kerajaan.
– MalaysiaGazette