Empat jenazah anggota bomba dibawa ke Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Shah Alam untuk disolatkan.

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga enam ahli bomba yang lemas ketika dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja di lombong dekat Taman Putra Perdana, Puchong, semalam.

Menyifatkan ia sebuah tragedi yang amat menyedihkan, Dr. Mahathir menasihatkan semua ahli keluarga bersabar dan menurut beliau, kerajaan bersedia memberikan sebarang bantuan yang diperlukan oleh waris.

Beliau juga menegaskan supaya latihan yang mencukupi diberikan kepada petugas SAR supaya kejadian seperti itu tidak lagi berulang.

“Kita belum terima (laporan) bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku ketika usaha mencari dan menyelamat orang hilang dijalankan.

“Kita perlu pastikan latihan-latihan yang berkesan diberikan kepada para penyelamat supaya kemalangan ketika bertugas di dalam bencana seperti ini dapat dielakkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Asean mengenai Pengurusan Bencana ke-6 di sini hari ini.

Dalam kejadian jam lima petang semalam, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba Malaysia maut ketika cuba menyelamatkan seorang remaja yang dipercayai terjatuh ketika memancing di lombong berkenaan.

Tragedi itu dipercayai berpunca daripada pusaran arus deras akibat hujan lebat yang mengalir ke kawasan tumpuan operasi menyebabkan kesemua mangsa terbelit tali yang mengikat satu sama lain sehingga peralatan menyelam yang dipakai anggota terbabit tertanggal.

Keenam-enam anggota bomba terbabit berjaya dinaikkan ke darat dan pasukan perubatan yang berada di lokasi cuba memberi bantuan menyelamat tetapi gagal.

Empat anggota yang disahkan meninggal dunia adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang manakala dua lagi dari BBP Shah Alam.-MalaysiaGazette