Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada majlis Augerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) untuk pertandingan Worldskills Malaysia Kategori Belia (WSMB) di MITEC
Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada majlis Augerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) untuk pertandingan Worldskills Malaysia Kategori Belia (WSMB) di MITEC.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan belia di negara ini supaya sentiasa berpegang kepada tiga prinsip utama yang membolehkan mereka terus berjaya dengan lebih cemerlang dalam kehidupan.

Antaranya, amanah, rajin serta kuat bekerja dan displin mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara tidak baik untuk diri sendiri juga orang sekeliling.

Menurut Dr Mahathir, seseorang yang mahu berjaya sehingga ke peringkat tertinggi seboleh mungkin bukan sahaja melalui kelayakan akademik sebaliknya nilai-nilai dalam kehidupan seharian.

“Jangan membuang masa sebaliknya bekerja dengan sekuat yang mungkin. Rajin dan kuat bekerja akan membolehkan seseorang itu berjaya dalam kehidupannya.

“Tidak cukup dengan hanya sekadar kuat kerja, anda juga perlu menonjolkan sifat amanah. Itu sangat penting untuk mendapatkan kepercayaan daripada pihak majikan dan orang ramai terutamanya yang dekat dengan kita.

“Jika kita tidak amanah, kita tidak akan mencapai kejayaan yang besar dalam kehidupan kita. Ini juga nasihat untuk ahli politik di negara ini. Sifat amanah itu sangat penting.

“Selain daripada itu, ingat, disiplin dalam mengawal diri daripada melakukan sesuatu yang tidak baik juga akan memberi jaminan berjaya dalam kehidupan kita sebenarnya.

“Memiliki bakat dalam bidang kemahiran juga membolehkan seseorang seperti anda berjaya seperti yang lain dalam hidup malah ianya satu kelebihan luar biasa yang tidak semua miliki,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap pada majlis Augerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) untuk pertandingan Worldskills Malaysia Kategori Belia (WSMB) di MITEC di sini, hari ini.

Dalam pada itu, perdana menteri turut menggesa golongan pakar industri di negara ini untuk bukan sahaja menyokong sebaliknya memainkan peranan membantu pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk negara bersaing pada masa hadapan.

Jelas beliau, untuk pembangunan modal insan, Malaysia amat memerlukan acuan tersendiri untuk maju terutamanya dengan mengguna pakai kemahiran rakyat di negara ini.

“Saya amat berharap penglibatan industri dapat bergiat aktif termasuk dalam pertandingan-pertandingan kemahiran bagi meningkatkan kompetensi serta menyumbang kepada industri itu sendiri.

“Kerajaan baharu ini juga sebenarnya memberi keutamaan serta kepentingan kepada pembangunan modal insan secara holistik,” tegasnya.

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri diperkenalkan pada 1991 semasa Pertandingan Johan Kemahiran Malaysia (PJKM) yang juga merupakan cetusan idea Dr Mahathir ketika itu bagi menghargai peranan serta bakat pekerja mahir dan golongan belia dalam menonjolkan kretiviti inovasi mereka. – Malaysia Gazette