Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dan abangnya, Datuk Abdul Latif dibebaskan hari ini selepas direman selama 10 hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kontrak Tabung Haji (TH).

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Ahmad Afiq Hasan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan dua penjamin setiap seorang.

Namun peguam bela Abdul Azeez yang bekas Pengerusi TH memberitahu pihak media, jumlah jaminan adalah sebanyak RM500,000.

Pembebasan tersebut disambut laungan kegembiraan oleh kira-kira 100 penyokong Abdul Azeez yang kebanyakannya merupakan ahli UMNO dari Baling hadir bagi memberi sokongan kepada beliau.

Mereka tiba seawal pukul 8.15 pagi dengan menaiki tiga buah bas yang bertolak pukul 10 malam tadi dan tiba di sini pukul 5 pagi.

Sementara itu, menurut sumber SPRM, siasatan ke atas Abdul Azeez belum lagi lengkap dan beliau boleh dipanggil pada bila-bila mengikut keperluan.

MGF05102018_DATUK AZEEZ TAMAT REMA_07 (1)
Abdul Latif Abdul Rahim tiba di Mahkamah Putrajaya selepas direman selama 10 hari berhubung salah laku berkaitan kontrak Tabung Haji di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 05 OKTOBER 2018.

Beliau, abang dan sepupu, Nazri Osman mula ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan bermula 26 September lalu.

Namun sepupunya itu dibebaskan pada 29 September lalu tetapi reman Abdul Azeez dan abangnya disambung selama enam hari lagi.

Difahamkan, perintah penahanan reman itu adalah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Ketiga-tiga mereka diwakili peguam Datuk K Kumaraendran.

Abdul Azeez, 52, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dilantik sebagai pengerusi TH pada Julai 2013 dan mengumumkan meletakkan jawatan pada 23 Mei lalu.

Ia adalah hari sama SPRM menyerbu beberapa hartanah yang berkaitan dengan beliau dan merampas wang tunai berjumlah RM500,000 dan sejumlah jam tangan.

Namun Abdul Azeez mendakwa wang tunai itu milik UMNO Baling. – MalaysiaGazette