Home Seni Hidup Awie diperintah bayar RM80,000 ganti rugi pukul bekas isteri

Awie diperintah bayar RM80,000 ganti rugi pukul bekas isteri

KUALA LUMPUR – Bekas isteri Datuk Awie iaitu Rozana Misbun menerima RM80,000 sebagai ganti rugi daripada saman sivil yang dituntutnya.

Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 28 September lalu.

Mahkamah tersebut juga memerintahakan Awie membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Rozana.

Rozana diwakili oleh peguam Ahmad Fakhri Abu Samah, Azlan Abd Roni, Muhammad Azwar Ab Manab dan Nasyrah Ezzan Ali.

Azlan Abd Roni berkata, saman sivil yang difailkan oleh Rozana selepas beliau dipukul oleh Awie  pada 2 Jun 2014 di beberapa kawasan termasuk di kaunter Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Saman sivil yang telah difailkan oleh Rozana bertujuan menuntut ganti rugi untuk kecederaan-kecederaan yang dialami olehnya.

Dalam kejadian tersebut, Rozanah mengalami keretakan pada bahagian tulang rusuk kesembilan dan ke-10, lebam-lebam di bahagian muka, telinga kiri, leher bahagian kiri,lengan, ketiak, dada, bilateral periorbital dan hidung.

Wanita itu juga mengalami luka, lebam, sakit, kesengsaraan dan kesukaran untuk bernafas termasuk kos rawatan di hospital dan juga malu yang terpaksa ditanggung oleh Rozana akibat perbuatan Awie.

Pada 7 Mac 2016, vokalis kumpulan Wings itu dilepaskan daripada pertuduhan jenayah mencederakan Rozana, 40, oleh Mahkamah Majistret Ampang selepas kedua-dua pihak bersetuju kes diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM10,000 dan Awie memohon maaf.

Awie pada 4 Julai 2014, Awie, 50, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan Rozana yang ketika itu adalah isterinya di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun 2014 di Mahkamah Majistret Ampang.

Penyanyi itu kemudian didakwa dan telah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan Rozana di kaunter Permodalan Nasional Berhad Jalan Tun Razak di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.-MalaysiaGazette