Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terkejut dengan laporan kira-kira 400 projek yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dibatalkan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Katanya, lebih mengejutkan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi pelbagai alasan yang disifatkan sebagai tidak logik kerana kebanyakan yang dibatalkan itu melibatkan projek untuk rakyat dan orang kampung luar bandar.

“Kalau projek mega bernilai ratusan juta ringgit kos dibatalkan saya tidak ada halangan, tapi ini projek berskala kecil yang menjadi keperluan untuk diteruskan.

“Rakyat menunggu dan mengharapkannya sekian lama seperti jalan kampung, pembaikan surau dan masjid atau juga jalan antara kampung yang banyak membantu kepada perhubungan dan pembangunan kampung di luar bandar.

“Saya sebagai Ahli Parlimen pembangkang sudah dua kali mengingatkan kerajaan PH supaya meneruskan projek tersebut di dalam Parlimen,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggulung ucapan kementeriannya, beliau menyatakan surat edaran dari Kementerian Kewangan hanyalah untuk menangguhkan projek, manakala Menteri KPLB yang baharu, Rina Harun pula memaklumkan projek kepentingan rakyat di bawah kementerian itu akan diteruskan.

Kata beliau, dalam pengetahuannya sebagai bekas menteri, proses tender berlaku dengan teliti kerana jawatankuasa tender terdiri dari pegawai kerajaan seperti Ketua Setiausaha atau Timbalan Ketua Setiausaha.

Selain itu, jelasnya, Jabatan Kerja Raya, pegawai dari Kementerian Kewangan dan wakil dari kementerian yang berkepentingan tanpa campur tangan politik juga turut serta.

Bagaimana kata Ismail Sabri, jika kerajaan hari ini menyatakan pemilihan kontraktor atau syarikat itu melalui politik, mereka boleh saja mengkaji semula, bukan membatalkan projek yang akhirnya menjejaskan rakyat dan usahawan.

“Saya melihat kesannya kepada rakyat dan juga usahawan kecil seperti pemilik lesen kelas F. Ini adalah usahawan kecil yang harus kerajaan bantu.

“Mengikut edaran Kementerian Kewangan bahawa sesetengah projek yang telah berjalan, tetapi di bawah 15 peratus kemajuan juga akan dibatalkan, ia bakal memberikan kesan kepada usahawan tersebut dan yang lebih besar kepada rakyat.

“Saya juga amat kesal bila mendapat tahu projek seperti pembinaan masjid turut dibatalkan dan dihentikan. Apakah Guan Eng sedikit pun tidak sensitif dengan kapasiti beliau sebagai non muslim,” ujarnya.

Katanya, pembinaan masjid adalah keperluan kepada penduduk setempat yang sekian lama menunggu untuk ada sebuah rumah ibadat dalam kawasan mereka, tetapi tiba-tiba dibatalkan.

“Apakah Guan Eng sedikit pun tidak rasa sensitiviti orang Melayu dan Islam ini apabila pembinaan masjid mereka dibatalkan oleh kerajaan yang mereka pilih sebelum ini?

“Guan Eng tidak sepatutnya menyamakan pembangunan fizikal lain dengan pembinaan masjid. Ia adalah perkara sensitif umat Islam.

“Retorik Guan Eng jelas apabila kononnya berhenti dalam sidang media apabila mendengar azan, tetapi di belakang rakyat beliau membatalkan pembinaan masjid,” katanya. – MalaysiaGazette