Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menepis kebimbangan potensi pembabitan SilTerra Malaysia Sdn Bhd dalam projek kereta nasional ketiga.

Ini merupakan reaksi beliau terhadap kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang menyatakan potensi kerjasama anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd dalam projek tersebut akan menimbulkan keraguan terhadap janji kerajaan bahawa dana awam tidak akan digunakan bagi projek berkenaan.

“Khazanah bukan kerajaan, ia adalah sebuah syarikat dan mereka bebas untuk menjalankan perniagaan. Jika ada syarikat dalam Khazanah yang berminat (menyertai projek tersebut), mereka boleh melabur,” kata Dr Mahathir pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di sini, hari ini.

SilTerra adalah projek kepentingan nasional strategik untuk mempromosikan pengeluaran semikonduktor dan pemangkin bagi pelaburan teknologi tinggi di Malaysia.

Sejak ditubuhkan pada 1995, SilTerra telah menyediakan kepada banyak syarikat reka bentuk dan produk fabless utama dunia merangkumi segmen elektronik pengguna, komunikasi dan pengkomputeran, dan pasaran peranti modal.

Mengenai idea industri Aeroangkasa Asia Timur dan sama ada Malaysia akan menyertainya, Dr Mahathir berkata, Malaysia mengalu-alukan pelaburan.

“Kita tidak mempunyai pengetahuan atau kemahiran dalam membuat kapal terbang tetapi kita telahpun membina bahagian-bahagian daripada semua pesawat yang kita terbangkan. Bahagian-bahagian itu datang daripada CTRM dan industri-industri lain di Malaysia.

“Jadi, kita akan menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam perniagaan aeroangkasa,” katanya. – MalaysiGazette

Tinggalkan Jawapan