Gobind Singh Deo
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berucap pada majlis perasmian Universiti Teknologi Asia Pasifik di Technology Park di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia antara tiga negara ASEAN yang dijangka menyumbang sebanyak 75 peratus dlam pasaran perkkhidmatan keselamatan siber menjelang 2025.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pengeluaran Cybersecurity di ASEAN telah diramal meningkat dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 15 peratus dari tahun 2015 hingga 2025.

“Dengan peluang yang semakin meningkat dalam bentuk ekonomi digital, termasuk pertumbuhan fenomena industri keselamatan siber, kerajaan telah membayangkan strategi pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Universiti Teknologi Asia Pasifik di sini hari ini.

Gobind berkata, antara strategi tersebut ialah memajukan Malaysia sebagai negara terkemuka di rantau ASEAN dengan sumber yang kukuh terutama terhadap analitik keselamatan siber maju dan sumber forensik.

Kerajaan juga akan memastikan rakyat berpendapatan tinggi kerana jika itu berlaku ia akan membantu meningkatkan produktiviti negara, katanya.

Malah, kerajaan turut akan meningkatkan tahap keselamatan siber di negara ini sebagai usaha menjamin pertumbuhan ekonomi.

“Membina individu yang mahir dalam aspek keselamatan siber merupakan aspek utama yang perlu dititikberatkan.

“Laporan berkaitan mereka yang terlibat dalam bidang keselamatan siber di Malaysia amat menggalakkan dan 21 peratus tenaga kerja Cybersecurity di negara ini merupakan wanita berbanding 11 peratus di Amerika Syarikat.

“Bagaimanapun, jumlah itu masih kecil dan tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang semakin meningkat dalam era ekonomi digital,” ujarnya. – MalaysiaGazette