Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mukhtar
Calon Bebas, Tan Sri Isa Samad (dua kiri) berbual mesra dengan calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mukhtar (dua kanan) semasa berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Pasar Malam Kampung Jawa, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 05 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mukhtar meminta Bersih 2.0 supaya menyemak tindak tanduk calon popular kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson sebelum mendesak calon lain berikrar menyokong pilihan raya yang adil dan bersih.

Bagaimanapun, daripada sudut lain Mohd Nazari menyambut baik tindakan Bersih 2.0 itu yang dianggap satu proses wajar demi ketelusan demokrasi.

“Bagus tindakan Bersih..sebab bersih untuk pilihan raya mengikut demokrasi memang saya setuju tetapi…perlu semak apa yang sedang dibuat calon popular?

“Adakah itu cara yang bersih? Guna kenderaan kerajaan masuk kem tentera dan berucap..itu kesalahan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bersih apa namanya. Kita setakat berikrar buat aku janji kononnya bersih, tetapi pada hakikatnya orang menilai..pengundi menilai kita,” katanya ketika ditemui semasa bertemu pengundi di pasar malam Kampung Jawa Bukit Pelanduk, di sini.

Tambahnya, menandatangani deklarasi itu tidak ada masalah baginya untuk menandatanganinya tetapi pihaknya tidak maklumkan mengenai ikrar itu.

“Tiada siapa yang dekati calon (saya), nak bagi komen pun tidak boleh kerana tidak ada maklumat tepat dan tidak menerima sebarang dokumen.

Ditanya perasaan beliau kembali ke Port Dickson sebagai calon, beliau berkata, ia umpama sirih pulang ke gagang.

“Saya datang ke PD sekitar tahun 80 dan duduk di kem sebatang kara sebagai pejuang. Alhamdulillah saya lepasi pahit getir.

“Itu memberi kesan nostalgik kepada saya yang sangat merindui PD. Hari ini ibarat sireh pulang ke gagang, siapa yang tidak mahu balik ke tempat asal di mana kita dibesarkan dilahirkan sebagai pejuang.

“Dan hari ini saya berdiri bersama pejuang gerak gempur saya demi rakyat dan terubat rindu itu,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan