Tun Dr. Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) masih buntu mencapai kata putus berhubung bagaimana parti politik di negara ini akan memperoleh sumber kewangan bagi tujuan pengurusan parti.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya masih mencari formula terbaik bagi tujuan itu agar ia tidak dikaitkan dengan rasuah.

Katanya, ada parti komponen mencadangkan agar PH mengikut formula kerajaan Jerman, yang mana negara itu memberi peruntukan kepada parti politik supaya tidak bergantung kepada derma orang ramai.

“Masalah parti kita ialah tidak dapat wang untuk pengurusan parti. Kita telah mengatakan bahawa tidak akan ada rasuah dalam pengurusan parti.

“Rasuah terbesar boleh berlaku dalam parti politik, tapi hakikatnya parti kena ada duit untuk bergerak.

“Jadi, mesyuarat hari ini kita tidak dapat putuskan bagaimana parti politik boleh mendapatkan wang tanpa bantuan daripada mana-mana pihak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Al-Bukhary di sini, hari ini.

Dr Mahathir memberitahu, PH menolak tawaran sebuah syarikat untuk menderma kira-kira RM100 juta kepada Tabung Harapan kerana pihak berkenaan ada hajat lain.

“Kerana ada dia hajat lain, maka kita tak terima derma RM100 juta itu. Kalau kita terima, parti akan lebih teruk dan kita seperti balik cara lama.

“Oleh itu, kita akan kaji supaya unsur rasuah tidak akan berlaku dalam kerajaan PH dan parti politik dalam PH,” katanya.

Terdahulu, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga enam anggota Bomba dan Penyelamat yang terkorban dalam operasi menyelamat di sebuah lombong di Puchong, semalam. – MalaysiaGazette